Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Perpaduan Negara Malaysia (PPNM) mendakwa peruntukan cecah ratusan juta untuk masyarakat India menerusi program Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) gagal disalur secara telus.

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa sehingga kini peruntukan itu tidak diterima sepenuhnya oleh masyarakat kaum berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MIC yang menjadi parti yang mewakili kaum India ketika BN mentadbir sebelum ini perlu memberi penjelasan.

“Kalau kita lihat zaman BN memerintah, the mother of masyarakat India adalah MIC. Sebab itu saya kata MIC kena bertanggungjawab. Kalau MIC tidak ambil duit itu tapi parti itu jadi parti mewakili India untuk apa?

“Jadi sebagai pemimpin masyarakat MIC kenalah bertanggungjawab, termasuk sekarang siapa yang memimpin masyarakat India juga bertanggungjawab sebab duit sudah diserahkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi membuat laporan supaya agensi tersebut menyiasat aduan berkenaan.

Katanya, meskipun kini Perdana Menteri dan kerajaan telah bertukar namun pihak yang diamanahkan untuk menyalurkan dana tersebut kepada kaum India perlu di bertanggungjawab.

“Di mana dana itu, berjumlah ratusan juta? NGO mana yang terlibat (terima dana itu). Sebab hari ini, masyarakat India tidak dapat dana itu. Sebagai orang Melayu yang memimpin negara ini tidak kira mana-mana Perdana Menteri sekalipun sudah menurunkan peruntukan kepada masyarakat India malangnya kaum itu tidak dapat.

“Jadi kita minta SPRM lihat perkara ini,” tambahnya.

Kemudian pada tahun 2014, empat unit berasingan telah ditubuhkan untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat India Malaysia, iaitu Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), Pelan Tindakan untuk Masa Depan Sekolah Tamil (PTST), Sekretariat Khas untuk SEED dan unit khas untuk SEDIC.

Sebagai rekod, menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), SEDIC menerima peruntukan berjumlah RM203.89 juta dari tahun 2014 hingga 2018.

Menurut laporan pada waktu itu terdapat kelemahan dari aspek pemantauan kerana tiada pangkalan data lengkap diselenggarakan bagi menilai pencapaian dan penerima manfaat, selain isu kelulusan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memenuhi kriteria.

Kemduian SEED dan SEDIC disatukan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast