Fadzmel Fadzil
Fadzmel Fadzil

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) disifatkan memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun hanya memiliki 30 kerusi Parlimen ketika itu.

Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Fadzmel Fadzil menegaskan perkara itu membidas kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kamil Munim berhubung dakwaan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bersikap angkuh apabila menyatakan kerajaan semasa tidak akan terbentuk tanpa BN.

Menurut beliau, kenyataan Ahmad Zahid itu perlu dilihat dalam konteks teori pembentukan kerajaan gabungan atau Coalition Theory yang diperkenalkan oleh ahli sains politik, William H. Riker.

“Ini kerana Datuk Seri Ahmad Zahid sangat memahami teori pembentukan kerajaan gabungan (Coalition Theory) yang diperkenalkan oleh William H. Riker.

“Dalam teori ini, kestabilan sesebuah kerajaan tidak hanya bergantung kepada siapa yang mempunyai kerusi terbanyak tetapi siapa yang bertindak sebagai Paksi Segitiga (The Pivot Factor),” katanya dalam satu kenyataan.

Fadzmel berkata, selepas PRU-15 yang menyaksikan Parlimen tergantung, BN menjadi pihak yang menentukan pembentukan kerajaan apabila kedudukannya membolehkan majoriti dibentuk serta memastikan penyertaan wakil Melayu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Selepas PRU-15 yang menyaksikan Parlimen tergantung, BN secara jelas adalah king maker mutlak. Bukan sahaja daripada segi nombor yang mencukupkan majoriti Kerajaan Perpaduan malah memastikan suara bangsa Melayu mempunyai wakil majoriti di dalam Kabinet,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keputusan BN menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai satu ijtihad politik yang berani walaupun berdepan pelbagai tekanan dan tawaran daripada blok politik lain selepas pilihan raya.

“Keberanian BN mengambil ijtihad politik ini walaupun cuba digoda oleh blok yang satu lagi akhirnya mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil bukan sahaja dari segi majoriti tetapi juga komposisi kaum,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fadzmel berkata, tindakan yang diambil kepimpinan tertinggi BN bukan sesuatu yang luar biasa kerana terdapat banyak contoh dalam sejarah politik dunia yang menunjukkan parti-parti tradisional berperanan sebagai tonggak kestabilan negara.

Beliau memberi contoh keruntuhan kerajaan gabungan yang dipimpin oleh Mario Draghi di Itali sebagai bukti bahawa sesebuah kerajaan memerlukan kesepaduan politik dan ideologi bukan sekadar bergantung kepada jumlah kerusi semata-mata.

“UMNO/BN tidak pernah mendakwa kami adalah pemilik tunggal Kerajaan Perpaduan tetapi tiada sesiapa juga boleh menafikan UMNO/BN-lah yang meletakkan modal paling berisiko tinggi di awal penubuhannya,” katanya.

Semalam, Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas Ahmad Zahid bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan gabungan itu adalah sesuatu yang angkuh, dan tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik masa kini.

Jelasnya, dakwaan BN menjadi faktor utama pembentukan kerajaan sedia ada susulan sumbangan 30 kerusi Parlimen, tidak wajar dalam landskap politik semasa yang lebih kompleks dan berteraskan perkongsian kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast