Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melancarkan Op Soga XI bagi membanteras kegiatan perjudian haram khususnya pertaruhan sukan dan dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadual bermula esok hingga 19 Julai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, operasi itu antara lain memfokuskan pemantauan dan tindakan terhadap perjudian dan pertaruhan dalam talian yang didalangi sindiket mahupun individu.

“Selain itu aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal melibatkan premis perjudian dan pertaruhan haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan dan premis atau individu yang mempromosikannya secara fizikal,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Kumar, operasi bersepadu itu dijalankan di seluruh negara melibatkan semua kontinjen.

Op Soga XI itu juga memperkukuh sinergi strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan kawal selia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain lagi.

“Bagi mengenal pasti dan menyekat platform, laman sesawang serta transaksi yang digunakan oleh sindiket perjudian dan pertaruhan haram,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk perjudian dan pertaruhan haram.

Jelasnya, tindakan tegas yang bakal diambil kepada pihak atau individu yang bersalah termasuk di Bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast