Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali menunjukkan laporan polis berhubung tindakan seorang individu Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing didakwa mengeluarkan tuduhan dan menganggu ketenteraman di premis Kementerian Komunikasi dan Menteri Komunikasi ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2026.

PUTRAJAYA – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei kerana didakwa menggangu kententeraman di premis Kementerian Komunikasi serta mengeluarkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap kementerian dan menteri terlibat.

Ketua Pengarah J-Kom, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, tindakan individu itu didakwa bertujuan mencetuskan provokasi, menganggu urusan rasmi serta menimbulkam keresahan dalam kalangan penjawat awam yang tidak boleh dipandang ringan.

“Individu berkenaan turut membuat beberapa dakwaan secara terbuka, antaranya mendakwa wujud campur tangan pihak Kementerian Komunikasi dalam isu sekatan akaun media sosial miliknya.

“Selain itu, turut mendakwa Menteri Komunikasi enggan bertemu dengannya serta mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan tanpa disokong oleh bukti yang sah dan disahkan oleh pihak berkuasa.

“Individu terbabit juga telah berhimpun sebanyak empat kali di Kementerian Komunikasi dan ini satu signal yang tidak baik kerana menganggu-gugat penjawat awam yang bekerja melalui pintu masuk di situ.

“Jadi laporan polis dibuat mengikut seksyen dan akta yang terlibat, dalam konteks ini kita perlu berlaku adil pada semua pihak dan itulah tugas kita sebagai penjawat awam hari ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali bercakap kepada media selepas selesai membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing didakwa mengeluarkan tuduhan dan menganggu ketenteraman di premis Kementerian Komunikasi dan Menteri Komunikasi ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2026.

Terdahulu, beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sekitar jam 8.30 pagi untuk membuat laporan polis terhadap Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing.

Tambah Mohd Hisyamuddin, laporan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Selain itu katanya, laporan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan serta Sekyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 berkaitan perlakukan menghina atau mengaibkan.

“Susulan itu, kita menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan lanjut.

“Semua platform media sosial mempunyai prosedur operasi dan peraturan tersendiri yang perlu dipatuhi. Jika sesuatu kandungan atau akaun tidak melepasi syarat yang ditetapkan, jangan salahkan MCMC ataupun Kementerian Komunikasi,” tambahnya lagi.

Pada masa katanya, J-Kom menyeru semua pihak supaya menggunakan saluran yang betul dan berhemah dalam mengemukakan pandangan, aduan atau mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu.

Tegasnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam sistem demokrasi negara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

“Hak untuk bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan yang berpotensi mengelirukan masyarakat, mencemarkan reputasi individu atau institusi, serta menjejaskan ketenteraman awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast