KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba melemahkan peranan Pas yang meneroka perubahan politik dan membodohkan Pas dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak.
Menurutnya, ia khususnya melibatkan parti Melayu Islam seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem.
Di samping itu, dakwanya, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli dan jenteranya.
Ternyata apabila turun ke lapangan, ujarnya, mereka tidak kelihatan sehingga menjadikan ahli Pas yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri.
Malah, dakwanya lagi, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.
“Sehinggakan, sebahagian besar Ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama PAS yang dikenali oleh Pas telah disingkirkan, digantung dan dipecat.
“Ada juga yang melompat keluar daripada parti. Apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) dan menjatuhkan maruahnya.
“Hal ini termasuklah langkah yang tidak setia kawan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Pas di Perlis sehingga menjatuhkan Menteri Besarnya.
“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih Kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.
“Langkah oportunis pemimpinnya menganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, Pas wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip,” katanya menerusi Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Tambah Abdul Hadi, Pas menyelami keadaan yang salah dan cuba membuat pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang bersifat sangat lemah dan menegur perangai yang salah dalam mesyuarat melalui pertemuan khusus dan pertemuan peribadi.
Namun begitu, katanya, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya dan akhirnya, Pas terpaksa menelan pahitnya dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil, dan pilihan raya negeri.
“Dalam kerjasama ta‘awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya Pas tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan.
“Akhirnya, Majlis Syura Ulamak, para ilmuwan dan pengamat politik ditugaskan supaya melakukan muhasabah, tabayyun dan kajian terperinci khususnya dari segi dasar hukum syariat dan maslahat politik,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, setelah mengadakan perbincangan dengan Bersatu dan mengadakan tabayyun perkara yang tersurat dan tersirat secara berdepan, maka Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat menerima pandangan Majlis Syura Ulamak dengan membuat keputusan memberhentikan ta‘awun dengan Bersatu.
Katanya, ia demi beristiqamah atas prinsip dan matlamat perjuangan Pas serta tidak menghabiskan masa dalam krisis yang tiada kaitan dengan Pas.
Ujar beliau, Pas juga terus bersikap terbuka kepada semua kumpulan dengan berpegang teguh kepada prinsip dan meneruskan perjalanan dengan beristiqamah, khususnya bagi menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan rakyat masyarakat majmuk yang lebih besar.
Tambahnya, Pas tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan Bersatu walaupun mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain.
Sehinggakan, menurut beliau, Pas terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus akan kerusi.
“Namun begitu, ia memberikan kemenangan besar kepada Pas sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.
“Pas juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada Pas.
“Inilah berkat beristiqamah dengan pertolongan Allah kerana keikhlasan para pejuangnya, walaupun terpaksa menanggung bebanan masalah daripada pihak yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















