ISLAMABAD – Perdana Menteri Pakistan mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju mengenai teks perjanjian untuk menamatkan perang antara kedua-dua negara di Asia Barat, dan para pengantara kini sedang bekerjasama dengan kedua-dua pihak untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata, AS dan Iran telah mencapai “teks akhir yang dipersetujui bersama”.
Beliau berkata Pakistan, yang memainkan peranan utama dalam usaha pengantaraan, sedang bekerjasama dengan kedua-dua negara yang berperang itu bagi menentukan langkah seterusnya.
“Keamanan tidak pernah sedekat ini seperti sekarang,” kata Sharif dalam satu hantaran di platform X, pada Jumaat.
Perkembangan positif dalam rundingan itu berlaku selepas Iran bertukar serangan dengan AS dan Israel selama tiga hari minggu ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa Asia Barat akan kembali terjerumus ke dalam perang berskala penuh.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pada Jumaat bahawa satu perjanjian “tidak pernah sedekat ini untuk dicapai”, menerusi satu hantaran di X.
Presiden AS, Donald Trump, yang beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyatakan bahawa kedua-dua negara berada di ambang mencapai perjanjian, turut berkongsi hantaran Araghchi itu di platform media sosial miliknya.
Perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel pada 28 Februari lalu telah menggugat kestabilan Asia Barat serta hampir melumpuhkan penghantaran minyak dan gas asli dari Teluk Parsi. Satu gencatan senjata yang rapuh telah berkuat kuasa sejak 7 April. -AGENSI
















