Sivakumar berehat
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Wilayah Persekutuan mempersoalkan kegagalan tindakan terhadap dakwaan kewujudan penempatan haram warga asing di sekitar Segambut dan Kampung Padang Balang yang didakwa telah berlarutan sejak bertahun-tahun tanpa penyelesaian tuntas daripada pihak berkuasa.

Ketua Pemudanya, Mike Chong Yew Chuan berkata, isu itu kembali menjadi perhatian selepas tular sebuah video yang memaparkan kewujudan penempatan haram warga asing berskala besar di Segambut.

Menurut beliau, apa yang lebih mengejutkan ialah kawasan berkenaan didakwa telah menerima notis pengusiran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan yang dijalankan.

“Hannah Yeoh yang kini Ahli Parlimen Segambut sejak 2018 dan pernah memegang portfolio berkaitan Wilayah Persekutuan seharusnya mengetahui kewujudan masalah yang telah lama berlarutan ini.

“Sekiranya DBKL telah mengeluarkan notis pengusiran sejak sedekad lalu, jelas menunjukkan penempatan tersebut bukanlah isu baharu. Dakwaan penduduk bahawa aduan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya juga menimbulkan tanda tanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, kegagalan menyelesaikan masalah yang telah lama dibangkitkan oleh penduduk setempat mencerminkan kelemahan tadbir urus serta kurangnya inisiatif politik dalam menangani isu berkenaan.

Mike turut merujuk kepada satu lagi video yang tular baru-baru ini yang didakwa menunjukkan kewujudan penempatan haram di Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, meskipun isu pencerobohan dan penempatan haram warga asing hangat diperkatakan di media sosial sejak beberapa hari lalu, tiada penjelasan terbuka atau pelan tindakan menyeluruh yang diumumkan kepada orang ramai.

“Tiada operasi besar-besaran yang diumumkan dan tiada penjelasan yang mampu meredakan kebimbangan warga kota.

“Ketika menjadi pembangkang, soal akauntabiliti sering ditekankan. Namun apabila isu kritikal yang memberi kesan langsung kepada penduduk Kuala Lumpur dibangkitkan, tindakan yang diharapkan masih belum kelihatan,” ujarnya.

Beliau berkata, kewujudan penempatan tanpa kelulusan bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan dan kebersihan, malah memberi kesan kepada kualiti hidup penduduk tempatan yang mematuhi undang-undang serta menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tambahnya, jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran Wilayah Persekutuan menuntut ketegasan, tindakan proaktif dan keupayaan menyelesaikan isu akar umbi yang membelenggu rakyat.

“Sekiranya krisis penempatan haram ini terus berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas dan keluhan penduduk tidak diberikan perhatian sewajarnya, rakyat berhak menilai sendiri prestasi kepimpinan yang dipertanggungjawabkan.

“Penduduk Kuala Lumpur tidak lagi mahu mendengar alasan semata-mata, sebaliknya mengharapkan tindakan yang nyata dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast