KUALA LUMPUR – Jumlah penerima inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin.
Inisiatif ini selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026 dan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Ia dilaksanakan menerusi Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) yang menukar pinjaman PTPTN kepada bentuk biasiswa bagi pelajar miskin dan miskin tegar yang layak.

Melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih serta mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mulai 1 Januari 2026.
Sesi penyerahan BAeK PTPTN kepada pelajar di Johor dilaksanakan pada 13 Jun lalu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dengan kehadiran Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Program penyerahan biasiswa itu diteruskan di Melaka pada 15 Jun melibatkan dua pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Politeknik Melaka.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, dan turut dihadiri Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Melaka, Mas Anisah Ayu Othman.
Semasa sesi penyerahan di Johor, Norliza memaklumkan sehingga 31 Mei 2026, seramai 402 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat BAeK PTPTN dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.79 juta.
Menurut PTPTN, pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi tidak menjadi halangan kepada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, BAeK PTPTN diharap dapat membantu merealisasikan impian pendidikan tinggi pelajar daripada keluarga memerlukan melalui sokongan kewangan yang menyeluruh, sekali gus memberi peluang kepada mereka menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya tanpa dibebani hutang pendidikan. – MalaysiaGazette
















