KUALA LUMPUR – Penantian selama 44 tahun akhirnya berakhir buat 98 keluarga penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara apabila mereka bakal menerima dua unit apartmen tiga bilik secara percuma menerusi projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek berkenaan menjadi penyelesaian tuntas kepada isu perumahan yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu sekali gus memberi jaminan penempatan kekal kepada penduduk terlibat.
Menurut beliau, pembangunan itu hanya melibatkan kawasan seluas 5.76 ekar manakala baki tanah akan diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam.
“Rumah ganti dibangunkan dan disiapkan terlebih dahulu bagi membolehkan penduduk berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini hari ini.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen beliau dalam memastikan isu yang merentasi beberapa pentadbiran sebelum ini dapat diselesaikan.
Katanya, pendirian Kerajaan Madani yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, memelihara Taman Rimba Kiara serta menjaga kebajikan penduduk setempat menjadi faktor utama kejayaan penyelesaian projek tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk tapak kuil sedia ada di kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, tapak rumah ibadat itu akan dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam bagi memastikan kemudahan berkenaan terus dapat digunakan oleh komuniti setempat. – MalaysiaGazette
















