Prof Madya Dr Salawati Mat Basir

MELAKA – Isu pelarian Rohingya didakwa semakin sukar dibincangkan secara terbuka apabila beberapa ahli Parlimen didakwa  berdepan kesukaran membangkitkan isu itu ke Dewan Rakyat,

Malah pegawai polis yang didakwa sedang menyiasat kemungkinan kewujudan sindiket pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Terengganu pula didakwa tiba-tiba dihantar cuti belajar.

Itu pendedahan Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir mengenai pengalaman beliau bertemu pelbagai pihak dalam kajian dan perbincangan mengenai isu Rohingya.

“Saya cakap terus terang walaupun isu ini sensitif. Ada seorang pegawai polis ini dia memang sedang siasat kemungkinan wujud sindiket mengeluarkan kad UNHCR kerana jumlahnya terlalu ramai.

“Tapi bila dia sudah mulakan siasatan, tiba-tiba dihantar cuti belajar. Pada saya, ia suatu tindakan yang fishy (menimbulkan persoalan),” katanya menerusi Podcast Bawa Otak terbitan UKM Pakarunding.

Salawati turut mendakwa beliau pernah bertemu beberapa ahli Parlimen (MP) daripada parti politik berbeza yang mengakui berdepan kesukaran untuk membangkitkan isu Rohingya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

“Saya jumpa semua, ada dua hingga tiga orang daripada parti berbeza tapi dia cakap setiap kali mahu bercakap mengenai isu pelarian (dalam Dewan Rakyat), dia dah kena hempuk awal-awal.

“Kemudian saya jumpa MP lain daripada parti berbeza tapi bila isu itu dibangkitkan ia tidak akan didengari sehingga tenggelam begitu sahaja,” dakwanya.

Beliau berkata, dakwaan tersebut menimbulkan persepsi isu Rohingya seolah-olah menjadi satu topik yang sensitif atau taboo untuk dibincangkan secara terbuka walaupun kebimbangan rakyat terhadap perkara itu semakin meningkat.

Tegasnya, sebagai wakil rakyat, ahli Parlimen sepatutnya diberikan ruang untuk menyuarakan kebimbangan masyarakat tanpa mengira sama ada isu tersebut menyenangkan atau tidak kepada mana-mana pihak.

Beliau turut mengingatkan, isu imigran dan pendatang tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi memberi kesan besar kepada sentimen politik sekiranya kebimbangan rakyat terus diabaikan.

“Saya suka nak ingatkan isu imigran boleh meruntuhkan kerajaan jika kerajaan gagal menangani kebimbangan rakyat dengan baik. Kita sudah melihat di beberapa negara pro pendatang ini bagaimana isu imigran menjadi faktor yang mempengaruhi sokongan rakyat terhadap kerajaan pemerintah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan berkaitan siasatan sindiket kad UNHCR serta menjawab persoalan yang semakin kerap dibangkitkan mengenai pengurusan pelarian Rohingya di negara ini.

Katanya, ketelusan dan kesediaan mendengar kebimbangan rakyat adalah penting bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani tanpa menimbulkan persepsi perbahasan mengenainya cuba dielakkan atau ditenggelamkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast