Gambar hiasan

FRANKFURT – Mahkamah di Jerman melarang McDonald’s daripada mendakwa dalam iklannya bahawa syarikat itu akan mencapai status neutral iklim menjelang tahun 2050, selepas tindakan undang-undang difailkan oleh kumpulan aktivis alam sekitar.

Dalam kenyataan kepada AFP, rangkaian restoran makanan segera dari Amerika Syarikat itu mengesahkan ia menerima tuntutan undang-undang yang dikemukakan oleh Environmental Action Germany (DUH), namun menegaskan ia tidak pernah berniat untuk “mengelirukan pengguna secara sengaja”.

Kes berkenaan tertumpu kepada kenyataan di laman web McDonald’s tahun lalu yang menyatakan syarikat itu akan menjadi “neutral iklim”, termasuk melibatkan rantaian bekalannya, bermula tahun 2050.

Bagaimanapun, DUH mendakwa janji tersebut merupakan dakwaan besar yang tidak disertakan dengan penjelasan terperinci mengenai cara ia akan dicapai, selain menyifatkan langkah-langkah yang dikemukakan sebagai kabur dan tidak mencukupi.

Menurut DUH, McDonald’s telah meminda iklan berkenaan selepas menerima amaran daripada pihaknya, tetapi enggan memberi jaminan bahawa dakwaan seumpama itu tidak akan diulangi.

Keengganan itu mendorong kumpulan aktivis berkenaan membawa kes tersebut ke mahkamah di Munich.

McDonald’s pula tidak mempertikaikan tindakan undang-undang itu dan menerima tuntutan yang dikemukakan terhadapnya.

Berdasarkan keputusan mahkamah yang dikeluarkan awal bulan ini, McDonald’s diarahkan supaya tidak lagi mengiklankan bahawa syarikat itu komited untuk mencapai neutraliti iklim di seluruh operasi restorannya dan rantaian bekalan global menjelang 2050.

Sekiranya melanggar perintah tersebut, syarikat itu boleh dikenakan denda sehingga 250,000 euro (kira-kira AS$290,000).

Selain itu, pengurus syarikat juga berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan jika larangan berkenaan tidak dipatuhi.

Pengarah Urusan DUH, Juergen Resch, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu kemenangan dan mendakwa McDonald’s cuba meraih manfaat daripada imej mesra alam yang menurutnya tidak mencerminkan realiti.

Beliau berkata, syarikat itu memproses sejumlah besar daging lembu dan ayam serta menghasilkan timbunan sisa melalui penggunaan pembungkusan pakai buang.

Sementara itu, McDonald’s mengesahkan, syarikat itu akan mengelakkan penggunaan frasa yang dipertikaikan pada masa hadapan dan memaklumkan kenyataan tersebut telah pun dipadamkan daripada laman webnya beberapa bulan lalu.

Syarikat itu turut mengkritik DUH kerana mengamalkan strategi litigasi yang semakin bersifat konfrontasi.

DUH sebelum ini telah memfailkan pelbagai tindakan undang-undang berkaitan isu iklim dan kini turut mencabar pelan tindakan iklim baharu kerajaan Jerman yang didakwanya tidak memadai untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon yang diwajibkan oleh undang-undang. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast