STEM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial menempelak kerajaan kerana didakwa gagal menangani isu kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam menyebabkan ada jabatan yang terpaksa ditutup atau perkhidmatannya dikurangkan.

Eric See-To (Lim Sian See) yang juga pengkritik kerajaan berkata, situasi tersebut turut menyebabkan jururawat sedia ada terbeban dengan nisbah pesakit yang tidak masuk akal.

“Lebih lawak, sekarang kerajaan sampai pertimbang mahu bawa masuk jururawat dari Indonesia untuk tampung kekurangan tenaga kerja kesihatan.

“Macam mana daripada `terlalu ramai’ boleh jadi `tak cukup sampai kena import’? ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Pada 2 Mei lalu, media melaporkan KKM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Antara Kementerian bagi meneliti isu kekurangan doktor dan pakar perubatan termasuk aspek pengekalan bakat dalam sektor kesihatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, persoalan kekurangan doktor dan pakar perubatan sudah berlarutan sekian lama dan dengan perkhidmatan 151 hospital, sektor kesihatan tentu berdepan pelbagai masalah.

Menurut See-To, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu sering didakwa gagal merancang sehingga berlaku lambakan doktor dan jururawat manakala universiti awam dan swasta pula dikatakan mengeluarkan terlalu ramai doktor.

Beliau kemudian mengimbau tindakan Dzulkefly selepas kerajan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum 2018.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurangkan pelantikan tetap doktor dan lebih banyak bergantung kepada lantikan kontrak bagi mengatasi lambakan.

Ujar beliau, moratorium program ijazah perubatan baharu dan pertambahan kuota pelajar diteruskan.

Selain itu, kuota pengambilan pelajar perubatan dikawal atas alasan mahu membendung lebihan graduan.

“Pengambilan pelatih jururawat dikurangkan daripada 2,274 orang pada 2016 kepada 1,742 orang pada 2018. Masa itu mereka bangga kata sedang selesaikan `lambakan’. Hari ini rakyat nampak hasilnya.

“Bila paip bekalan tenaga kerja disekat, pengambilan dikurangkan, jawatan tetap tidak cukup dan sistem kontrak diperluaskan.

“Beberapa tahun kemudian jangan terkejut kalau hospital pula menjerit kekurangan staf. Inilah masalah bila kerajaan buat dasar ikut propaganda politik, bukan ikut keperluan jangka panjang negara,” dakwanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast