ISKANDAR PUTERI – Tokoh akademik dan Sejarawan Negeri Johor, Prof Datuk Dr Kassim Thukiman, 63, diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1448H/2026M, hari ini.
Anugerah buat anak jati Johor Bahru itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan, sejarah serta pembangunan syiar Islam di negeri ini.
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu ketika ditemui berkata, anugerah berkenaan adalah penghormatan tertinggi yang diberikan kerajaan negeri dan menjadi dorongan untuk beliau terus menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah bersara pada 2021.
“Amanah yang diberikan sebagai Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor membuka ruang untuk terus memperkasakan penyelidikan, penulisan dan penyebaran sejarah kegemilangan Johor kepada masyarakat.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas pengurniaan anugerah ini. Saya juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang mengiktiraf sumbangan saya dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan sejarah,” katanya.
Beliau berkata, walaupun sudah menamatkan perkhidmatan di UTM, masih aktif menjalankan kerja akademik bersama-sama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Arkib Negara Malaysia bagi menyebarluaskan sejarah Kesultanan Johor serta Bangsa Johor.
Sementara itu, Kassim mengingatkan generasi muda supaya tidak terlalu taksub dengan teknologi sehingga melupakan sejarah yang menjadi asas pembinaan tamadun bangsa dan negara.
“Dalam kita hari ini begitu obses kepada teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) saya berharap generasi muda tidak melupakan sejarah kerana sejarah telah mencipta tamadun negara dan Negeri Johor,” katanya.

Beliau mengingatkan selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511, Kesultanan Johor telah menebus maruah politik bangsa Melayu dan menjadi kesinambungan kepada kegemilangan tamadun Melayu-Islam.
“Menjelang tahun 2028 nanti, Kesultanan Johor akan mencapai usia 500 tahun,” jelasnya.
Beliau berkata, sejarah Johor membuktikan bahawa Islam menjadi tunjang kepada pembentukan kerajaan dan pentadbiran negeri sejak zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar lagi.
Menurutnya, penubuhan institusi Mufti dan Kadi Besar pada 1873, diikuti penubuhan MAINJ pada 1925, membuktikan komitmen Kesultanan Johor dalam memperkukuhkan syiar Islam dan pembangunan umat.
“Dasar pendidikan yang diasaskan Kesultanan Johor berjaya melahirkan ramai tokoh yang menyumbang kepada pembinaan negara bangsa seperti Datuk Onn Jaafar, Datuk Jaafar Muhammad, Mohamed Salleh Perang dan ramai lagi.
“Semua ini menunjukkan bahawa Islam dan sejarah adalah asas penting yang perlu terus dipertahankan dalam usaha membangunkan negeri dan negara,” katanya.
Kassim yang memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kastam di Jabatan Kastam Johor Bahru pada 1982, bergelar tutor di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur selama tiga tahun sebelum menabur bakti sebagai pensyarah dan profesor di UTM, Skudai dari 1989 hingga 2021.
Sehingga kini, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis MAINJ; Ahli Lembaga Arkib Negara Malaysia; Ahli Lembaga Pengarah YWJ selain Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor.
Majlis bertemakan ‘Maju Johor Dihayati, Ummah Diberkati’ yang berlangsung di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini, disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Pada majlis itu, turut menerima Anugerah Maal Hijrah 1448H/2026M adalah Dr Kamarudin Md Tahir, 63, bagi kategori Kemasyarakatan; Muhammad Afiq Danial Md Azhar, 27 (Belia); Harun Segaran Abdullah, 47 (Saudara Kita) dan Mohd Shafiee Noore, 47 (Orang Asli).- MalaysiaGazette
















