Robert Douglas Friend (kiri) dan Peter Cklamovski. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend ditamatkan melalui persetujuan bersama antara beliau dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM, berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Sementara itu, kontrak Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Peter Cklamovski dan dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith serta Seiya Imazaki juga ditamatkan atas persetujuan bersama, berkuat kuasa pada 16 Jun lalu.

Turut ditamatkan atas persetujuan bersama adalah kontrak Ketua Jurulatih Pasukan B-23 Kebangsaan, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin, berkuat kuasa pada 15 Jun lalu.

FAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, badan itu menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan.

Ujarnya,bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan, FAM sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya berhubung pengisian jawatan-jawatan berkenaan.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Peter Cklamovski dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepadanya, serta memahami keputusannya untuk menyahut cabaran baharu.

Ujarnya, bola sepak Malaysia mempunyai potensi yang luar biasa dengan Semangat para penyokong, bakat para pemain dan kecintaan terhadap sukan itu di negara ini adalah sesuatu yang mesti sentiasa dipelihara.

“Harapan saya agar bola sepak Malaysia terus berkembang dengan setiap keputusan sentiasa berpandukan kepada apa yang terbaik untuk sukan ini, para pemain dan masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, Nafuzi turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perjalanan kariernya dan menyifatkan pengunduran sebagai Ketua Jurulatih skuad B23 tahun bukan sesuatu yang mudah.

“Saya yakin pasukan ini akan terus berkembang dan meraih kejayaan dengan bakat dan potensi pemain muda yang ada sekali gus menjadikan mereka aset penting di masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast