KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak terdesak untuk menamakan calon Menteri Besar Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemilihan pemimpin yang berwibawa, berintegriti serta mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum di negeri itu.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Nur Hafiz Roslan berkata, PH tidak memerlukan ‘poster boy‘ semata-mata untuk memenuhi kehendak pihak lawan kerana gabungan itu mengamalkan keputusan secara kolektif dalam semangat demokrasi dan saling menghormati antara parti komponen.
Menurut beliau, PH yang dianggotai Amanah, PKR dan DAP tidak mengamalkan konsep ‘abang besar’ dalam menentukan hala tuju gabungan termasuk soal kepimpinan negeri.
“Yang lebih penting ialah calon Menteri Besar yang dipilih kelak mestilah seorang yang berwibawa, mempunyai sikap terpuji, sopan dan berhemah serta sentiasa berusaha menyatukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
“Johor memerlukan kepimpinan yang memahami nilai agama, profesional dan membawa agenda perpaduan demi masa depan anak-anak Johor, bukannya pihak yang mengamalkan politik kuno, memainkan sentimen perkauman dan menyebarkan politik kebencian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai mengulas pertanyaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung calon Menteri Besar PH sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor akan datang.
Nur Hafiz berkata, individu yang bakal dipilih sebagai Menteri Besar Johor juga perlu membawa suara hati rakyat dan bukan sekadar mengutamakan agenda parti atau gimik politik.
Beliau yakin rakyat Johor kini semakin matang dalam membuat penilaian dan akan memilih kepimpinan yang mampu menawarkan harapan, masa depan yang lebih baik serta pentadbiran yang stabil.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa BN sendiri pernah berdepan isu yang sama pada PRN Johor 2022 apabila kerajaan negeri ketika itu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam keadaan tergesa-gesa ketika negara masih berhadapan pandemik Covid-19.
“Malah sehingga tamat pilihan raya, BN sendiri tidak dapat memutuskan secara jelas siapakah yang layak diangkat sebagai Menteri Besar.
“Oleh itu, adalah pelik jika hari ini mereka cuba mempertikaikan proses yang sama yang sedang dilalui oleh Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa fokus utama ketika ini bukanlah polemik mengenai siapa calon Menteri Besar, sebaliknya pihak yang mampu menawarkan kepimpinan berwibawa dan iltizam untuk membangunkan Johor menjadi negeri yang lebih maju, inklusif dan bersatu.
“Johor dan Malaysia berhak mendapat pemimpin yang sedia berkhidmat untuk rakyat serta membawa budaya politik matang, berintegriti dan berpaksikan masa depan negeri serta negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















