KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memulakan siasatan dalaman bagi meneliti insiden seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan, di Negeri Sembilan.
JPNS dalam kenyataan berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan setiap perkara yang berkaitan dengan kejadian berkenaan.
“Keutamaan JPNS ketika ini adalah untuk memastikan bantuan terbaik dapat disalurkan kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.
JPNS berkata, pohaknya turut menyediakan sokongan psikososial kepada warga sekolah yang terkesan susulan insiden terbabit.
Terdahulu, media melaporkan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian yang berlaku pukul 10 pagi tadi.
Insiden berkenaan menggemparkan warga sekolah dan penduduk sekitar apabila orang ramai dilihat berkumpul di kawasan sekolah sejurus selepas kejadian berlaku.
Bagaimanapun, punca sebenar insiden itu masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















