KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2025 dengan Penarafan 5 Bintang (Cemerlang) pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan dan Peluncuran Sistem Pengurusan Keselamatan Perlindungan (e-PS) serta Sistem e-Vetting 3.0, baru-baru ini.
Pada majlis yang berlangsung 8 Jun lalu di Putrajaya itu, PTPTN turut dianugerahkan Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan Tahun 2025.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut PTPTN, kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan berprestij terhadap komitmen organisasi itu dalam memperkukuh aspek keselamatan perlindungan, tadbir urus organisasi dan pengurusan maklumat.
Dalam penilaian melibatkan 118 buah agensi, terdapat 50 agensi berjaya memperoleh Penarafan 5 Bintang (Cemerlang), manakala enam (6) agensi terbaik dengan markah keseluruhan tertinggi dipilih menerima Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan.
PTPTN berada dalam kelompok terbaik tersebut, sekali gus membuktikan kecemerlangan organisasi dalam mengurus aspek keselamatan perlindungan mengikut standard yang ditetapkan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan warga PTPTN, malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya keselamatan perlindungan dan tadbir urus yang cemerlang.
“Setiap warga PTPTN memainkan peranan penting dalam memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan disiplin tinggi, selaras dengan keperluan serta piawaian yang ditetapkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pencapaian itu juga mencerminkan komitmen berterusan PTPTN dalam memperkukuh budaya keselamatan perlindungan, mengamalkan tadbir urus yang mantap serta memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan terbaik demi melindungi aset, maklumat dan kepentingan organisasi.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN akan terus memperkasakan aspek keselamatan perlindungan melalui penambahbaikan berterusan, pemerkasaan teknologi digital serta pengukuhan tadbir urus organisasi.
Usaha itu sejajar dengan aspirasi PTPTN untuk terus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dan mengekalkan kepercayaan pelanggan serta pihak berkepentingan.
Kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan PTPTN dalam mengekalkan kecemerlangan organisasi serta memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi yang berprestasi tinggi, berintegriti dan dipercayai dalam mengurus amanah negara. -MalaysiaGazette
















