Keadaan Honda Civic yang dinaiki Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan remuk di bahagian depan akibat rempuhan dari hadapan ketika kemalangan

PEKAN –  Perjalanan pulang bertukar tragedi apabila tiga nyawa termasuk seorang doktor, anak perempuannya serta seorang pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan–Segamat berhampiran Chini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang maut ialah pegawai perubatan Hospital Segamat, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya Dhea Sofia, 2, dan Azaharuddin Mohd Ali, 46, Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila sebuah lori pikap yang datang dari arah Kuantan cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan.

“Kenderaan itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta dan sebuah MPV yang sedang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan.

Impak perlanggaran yang kuat menyebabkan pemandu kereta dan MPV maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala Dhea Sofia yang cedera parah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Chini.

Nahas turut mengakibatkan beberapa ahli keluarga mangsa cedera, antaranya isteri Dr Mohamad Zekry, Dr Hana Ibrahim, 35, yang juga pegawai perubatan Hospital Segamat serta ibu dan bapanya yang masing-masing berusia 80 dan 72 tahun.

Turut cedera ialah isteri Azaharuddin, Fatimah Awing Kechik, 46, dan anak lelaki mereka, Aiman Faez Al-Amini, 15.

Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Pekan manakala jenazah mangsa yang terkorban dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast