Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya Dhea Sofia, 2, maut dalam nahas di Kilometer 67, Jalan Kuantan–Segamat berhampiran Chini petang semalam manakala isterinya Dr. Hana Ibrahim, 35, mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

PEKAN – Kesibukan sebagai seorang doktor tidak pernah menghalang Dr. Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan daripada menunaikan tanggungjawab sebagai anak.

Setiap minggu, beliau akan pulang ke kampung demi menjenguk ibu bapanya, menikmati masakan ibunya dan memastikan segala keperluan mereka terjaga.

Namun rutin penuh kasih sayang yang dilakukan tanpa gagal itu akhirnya terhenti buat selama-lamanya apabila doktor berusia 33 tahun tersebut maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat di sini semalam.

Lebih menyentuh hati, anak kedua daripada empat beradik itu sentiasa membahagikan masanya secara adil antara keluarga sendiri dan keluarga mentuanya meskipun jadual kerjanya padat.

Ibunya, Rosnah Wahid, 55, berkata, arwah akan pulang ke rumah mereka di Batu Anam, Segamat setiap Ahad manakala setiap Jumaat pula akan menziarahi keluarga mentuanya di Muadzam Shah, Rompin.

“Walaupun sibuk bekerja sebagai doktor, dia tidak pernah lupa balik kampung. Setiap minggu memang dia akan datang. Dia sangat mengambil berat tentang kedua-dua keluarga.

“Apa sahaja keperluan kami, dia akan usahakan. Memang dia anak yang sangat baik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan hari ini.

Menurut Rosnah, kali terakhir bertemu arwah pada Ahad lalu dan masih tergambar wajah anaknya itu menikmati pelbagai juadah yang dimasaknya sambil memuji keenakan masakan ibunya itu.

“Dia kata masakan emak sedap semuanya sedap. Dia juga ada beritahu mahu membawa ayahnya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Arwah memang anak yang berbakti dan sangat mengambil berat tentang kami,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Atan Daud, 67, berkata, Mohamad Zekry turut membuat kejutan dengan menghantar sebiji kek ke rumah mereka pada waktu malam pada minggu lalu dan ia sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

“Ini kali pertama dia datang malam dan menghantar kek kepada saya. Tak sangka itulah pemberian pertama dan terakhir daripada dia,” katanya dalam nada sebak.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama isteri, anak serta ibu dan bapa mentuanya dalam perjalanan ke Kuantan bagi menghadiri perjumpaan keluarga yang dijadualkan  hari ini.

Difahamkan semasa kejadian mangsa dalam perjalanan daripada rumahnya di Segamat menuju ke Kuantan selepas berhenti mengambil ibu mentuanya yang tinggal di Muadzam Shah di Rompin.

Abang ipar mangsa, Johan Ibrahim, 44, berkata, mereka sekeluarga sepatutnya berkumpul di Teluk Cempedak dan menyertai acara larian bersama namun perancangan Allah sudah menentukan segalanya.

Pemergian Dr. Mohamad Zekry Zuhairy bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga malah menjadi kehilangan besar buat mereka yang mengenalinya.

Terdahulu dalam nahas  petang semalam, tiga nyawa termasuk seorang doktor, anak perempuannya serta seorang pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan–Segamat berhampiran Chini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang maut ialah pegawai perubatan Hospital Segamat, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya Dhea Sofia, 2, dan Azaharuddin Mohd Ali, 46, Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya.

Dalam perkembangan sama isteri Mohamad Zekry, Dr Hana Ibrahim, 35, yang juga pegawai perubatan Hospital Segamat difahamkan sedang mengandung tiga bulan kini menerima rawatan di Hospitan Tengku Ampuan Afzan susulan nahas tersebut.

Manakala ibu dan bapa Hana yang masing-masing berusia 80 dan 72 tahun juga menerima rawatan di Hospital Pekan dan HTAA.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Doktor, bayi, pegawai kanan LHDN maut dalam nahas tiga kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast