Aktivis Kemanusiaan, Lilaruzaini Mohd Hussain ketika menjadi panel Forum: Pelarian, Kemanusiaan dan Kehidupan Bersama: Mencari Titik Temu Antara Keselamatan, Maruah dan Keharmonian Sosial di Dewan IAIS Malaysia, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Jun 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih sistematik dalam menguruskan komuniti pelarian di negara ini bagi mengelak tercetusnya krisis sosial yang lebih besar termasuk ketegangan antara pelarian dan masyarakat tempatan.

Aktivis Kemanusiaan dan Respons Krisis, Lila Ruzaini Hussain berpendapat, isu utama bukan sekadar kehadiran pelarian di Malaysia tetapi kegagalan menguruskan mereka secara teratur selepas memasuki negara ini sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Apabila mereka masuk ke negara kita, mereka tidak diberi pendidikan asas mengenai kebersihan, budaya dan norma masyarakat Malaysia.

“Mereka datang dalam keadaan hanya mahu meneruskan hidup dan bertahan, menyebabkan ada yang tidak memahami budaya tempatan hingga berlaku pertembungan dengan masyarakat setempat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian rakyat tempatan melihat pelarian sebagai golongan yang bermasalah sedangkan punca sebenar adalah kegagalan pengurusan yang berkesan terhadap komuniti berkenaan.

“Kalau sesebuah keluarga tidak diurus dengan baik, ia akan menjadi tunggang-langgang. Begitu juga dengan pelarian. Apabila mereka tidak diuruskan dengan betul, ada yang menjadi agresif, kurang memahami peraturan dan menimbulkan pelbagai isu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Lila Ruzaini mencadangkan kerajaan mewujudkan kawasan atau penempatan khusus untuk pelarian serta menyediakan mekanisme yang membolehkan mereka menjana pendapatan secara terkawal.

Menurutnya, pelarian yang mahu berniaga boleh diberikan ruang tertentu dengan kutipan levi digunakan bagi membiayai kos pengurusan komuniti tersebut.

“Kita perlu bercakap tentang jalan penyelesaian. Isunya bukan sama ada mereka berguna atau tidak tetapi bagaimana mereka boleh diuruskan dengan lebih baik demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan negara asal pelarian menerima semula rakyat mereka walaupun negara ini boleh mengkritik atau menggesa tindakan dilakukan melalui saluran diplomatik.

“Sebagai anggota ASEAN, kita boleh menggesa dan mengkritik tetapi kita tidak boleh mengarahkan negara lain apa yang perlu dilakukan.

“Dalam keadaan sekarang, apa yang penting ialah bagaimana kita menguruskan situasi yang ada,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan isu kawalan sempadan yang didakwa sering dibolosi sehingga menyebabkan kemasukan pelarian secara berterusan ke negara ini.

“Ramai menyalahkan UNHCR sedangkan badan itu bukan berada di sempadan. Mereka beroperasi di pejabat dan pelarian yang sudah masuk ke negara ini akan pergi mendapatkan perlindungan atau pendaftaran. Jadi, kita perlu mendidik rakyat mengenai perkara ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga perlu memperketatkan kawalan sempadan bagi mengelakkan kemasukan pendatang dan pelarian secara tidak terkawal.

“Kenapa ada negara jiran yang tidak berdepan situasi seperti ini sedangkan Malaysia sering menjadi destinasi? Ini sesuatu yang perlu diteliti kerana mungkin ada kelemahan yang perlu diperbaiki,” tambahnya.

Pada masa sama, Lila Ruzaini berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan untuk memperkukuhkan pengurusan pelarian serta melaksanakan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau mencetuskan gerakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Saya melihat ada gerakan dalam kalangan rakyat yang mahu memberontak atau menekan kerajaan secara agresif. Ini bukan sesuatu yang sihat. Kita perlu mencari penyelesaian secara berhemah dan melalui saluran yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast