KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi kebenaran menyemak keputusan terdahulu yang mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadapnya akan didengar Jumaat ini.
Menurut semakan laman sesawang kehakiman, pendengaran akan bermula pukul 9 pagi di Mahkamah Persekutuan 1, Putrajaya.
Mohd Isa memfailkan permohonan semakan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan terdahulu atas alasan berlaku pelanggaran keadilan asasi.
Pada 13 Mei lalu, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah menangguhkan pendengaran selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk melihat rakaman mahkamah dan transkripsi prosiding (CRT) pada 5 serta 10 Februari lalu berkaitan rayuan Mohd Isa.
Pasukan pembelaan mewakili Mohd Isa memohon CRT berkenaan bagi memastikan sama ada panel terdahulu Mahkamah Persekutuan sudah memberi ruang kepada hujah mengenai merit pembelaan dan rayuan bagi mengurangkan hukuman selepas beliau didapati bersalah.
Sebelum ini, pendakwaan memaklumkan bahawa peluang itu telah diberikan namun pihak pembelaan memilih untuk tidak mengemukakan sebarang hujahan.
Mohd Isa, 76, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara serta denda terhadapnya.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada semua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu disabitkan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel yang ketika itu adalah Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai dorongan untuk meluluskan pembelian MPHS oleh FICSB pada harga RM160 juta. – MalaysiaGazette
















