SHAH ALAM – Pembentangan dan perbahasan mengenai Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang memberikan pandangan dan cadangan kepada keajaan negeri.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, berdasarkan Peruntukan Perkara 10(3), Menteri Besar boleh mengemukakan cadangan persidangan diadakan lebih awal daripada yang dijadualkan bagi suatu yang melibatkan kepentingan awam.
“Oleh itu apa yang dibentangkan di bawah peraturan ini bukan sesuatu yang bersifat usul atau pun Rang Undang-Undang (RUU), jadi ia tidak akan dibentangkan untuk keputusan atau kelulusan Dewan.
“Oleh sebab itu, ia akan dibahaskan dan kemudiannya dijawab oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Shafie Ngah (Sungai Ramal-PN) sama ada perbahasan mengenao pakej tersebut bakal diluluskan atau tidak.
Beliau mendakwa, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, sebarang perbelanjaan melibatkan wang negeri perlu melalui proses yang diperuntukkan di bawah Perkara 87, 88 dan 89 belanjawan tahunan, belanjawan tambahan dan kuasa membelanjakan wang negeri perlu diluluskan menerusi pembentangan rang undang-undang.
“RUU adalah punca kuasa bagi kerajaan untuk membelanjakan wang negeri. Kita tidak bercakap membelanjakan wang Menteri Besar, tidak. Saya mahu penjelasan sama ada kita boleh luluskan atau tidak. Kalau boleh pun adakah kerajaan ada punca kuasa membelanjakan wang itu?” soalnya.
Beliau berkata demikian semasa mencelah sesi perbahasan pada sidang DUN Khas yang berlangsung hari ini.
Sidang DUN Khas yang berlangsung sehingga esok adalah susulan daripada pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari Jumaat lalu yang mengumumkan keseluruhan peruntukan pakej Fasa 1 dan 2 berjumlah RM355.06 juta sebagai usaha meningkatkan daya tahan ekonomi negeri serta melindungi kebajikan rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global. -MalaysiaGazette
















