GEORGE TOWN – Tiada peruntukan jelas di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] untuk mengenakan kesalahan terhadap pemilik hanya kerana anjing bergaduh atau pemilik tidak meleraikan pergaduhan berkenaan.
Ia susulan kejadian pergaduhan dua ekor anjing di tempat awam di Pearl Hill, Tanjung Bungah di sini, yang tular di media sosial pada 29 Ogos lalu.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, hasil penelitian terhadap aduan serta rakaman video yang dikemukakan, pihaknya mendapati kejadian tersebut merupakan pergaduhan antara dua ekor anjing.
Menurutnya, selepas semakan dibuat terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], tiada peruntukan yang jelas di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik atas kejadian pergaduhan antara haiwan atau kerana pemilik tidak meleraikan pergaduhan tersebut.
“Walau bagaimanapun, perkara berkaitan tindakan menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang boleh dilihat di bawah Seksyen 8, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].
“Peruntukan tersebut menyatakan bahawa mana-mana orang yang, tanpa alasan yang sah di sisi undang-undang, menggalak atau mendorong mana-mana anjing atau haiwan lain untuk menyerang, membimbangkan atau menakutkan mana-mana orang atau haiwan boleh dikenakan denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah akta tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, JPV menasihatkan orang awam supaya membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat dakwaan atau bukti seseorang menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang.
“Ini bagi membolehkan perkara tersebut disiasat dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, JPV Pulau Pinang turut menegaskan pihaknya sentiasa mengambil serius setiap aduan berkaitan kebajikan haiwan dan akan mengambil tindakan berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima aduan menerusi saluran WhatsApp rasminya berhubung kejadian berkenaan dan kemudiannya menangkap anjing terbabit.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran sebelum ini dilaporkan berkata, pemeriksaan mendapati anjing berkenaan mempunyai lesen sah dan direkodkan sebagai anjing baka campuran.
“Aduan berkenaan dirujuk kepada JPV untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], selain MBPP akan bekerjasama dengan JPV berhubung tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















