Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila merangkumi hampir 70 peratus dari keseluruhan kes penagihan dadah direkodkan dengan negeri-negeri Pantai Timur dikenal pasti sebagai kawasan paling terjejas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 145,526 kes penyalahgunaan dadah sintetik direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 192,857 kes pada 2024, manakala 141,817 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Di negeri-negeri Pantai Timur, ganja, heroin, ketum dan morfin bukan lagi pilihan utama. Sebaliknya, pengguna beralih kepada ATS, syabu dan metamfetamin yang jauh lebih berbahaya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Tuan Khoo Poay Tiong PH-Kota Melaka minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kes penagihan dadah sintetik sejak 2023 hingga kini dan strategi kerajaan dalam menangani peningkatan penggunaan dadah tersebut termasuk ancaman fentanyl.

Saifuddin berkata, ancaman dadah sintetik terus berkembang dengan kemunculan bahan baharu seperti fentanyl yang dikesan melalui operasi terhadap cecair vape.

“Fentanyl memang sudah ada di negara kita, tetapi belum berada pada tahap yang serius.

“Namun fentanyl mempunyai kesan puluhan kali ganda lebih kuat daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian akibat kegagalan sistem pernafasan.

“Penyebaran fentanyl di Malaysia masih belum mencapai tahap membimbangkan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan memasukkan fentanyl ke dalam Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya serta undang-undang berkaitan.

“Ia bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, katanya, golongan muda berusia antara 15 hingga 39 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Jumlah itu mewakili hampir 75 peratus daripada keseluruhan 192,000 kes yang direkodkan,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan analisis terkini, seramai 560 individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia,

“Daerah yang merekodkan kadar tertinggi ialah Pendang, diikuti Kuala Krai, Bachok, Besut dan Mersing.

“Ini bukan sekadar statistik. Ia memberi gambaran jelas bahawa ancaman dadah sedang menjejaskan generasi yang sepatutnya menjadi pemacu ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast