JOHOR BAHRU – Kaunselor sekolah perlu memainkan peranan lebih proaktif mengenal pasti pelajar yang berdepan tekanan emosi atau masalah kesihatan mental bagi membolehkan tindakan intervensi dilaksanakan dengan segera.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap isu kesihatan mental pelajar menerusi pelbagai inisiatif sokongan, termasuk memperkasa peranan kaunselor sekolah sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan.
“Sebarang petunjuk atau tanda awal yang ditunjukkan oleh pelajar tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani segera melalui intervensi yang bersesuaian.
“Kita melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan mental dan memberikan perhatian kepada pengupayaan kaunselor sekolah. Jika ada tanda-tanda tertentu, kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perabot Madani dan Program Kalvi Madani di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Fadhlina berkata, usaha menjaga kesejahteraan mental pelajar memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa yang perlu sentiasa peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak.
Katanya, ibu bapa perlu berganding bahu dengan pihak sekolah dalam melaksanakan intervensi awal sekiranya mendapati anak mereka menunjukkan tanda-tanda tekanan atau memerlukan sokongan psikososial.
“Kita juga meminta ibu bapa untuk sama-sama mendukung isu kesihatan mental ini, khususnya melihat keadaan anak-anak dan mengambil langkah intervensi bersama-sama pihak sekolah,” katanya.
Beliau menegaskan, kerjasama erat antara sekolah dan ibu bapa amat penting bagi memastikan isu kesihatan mental sentiasa diberikan keutamaan serta ditangani secara berkesan.
Menurutnya, pendekatan intervensi awal mampu membantu pelajar mendapatkan sokongan yang diperlukan, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, sihat dan kondusif.
Fadhlina berkata, KPM akan terus memperkukuh pelbagai usaha berkaitan kesihatan mental pelajar bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara sepanjang berada dalam sistem pendidikan negara.- MalaysiaGazette
















