Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 1,156 individu menerusi 868 serbuan yang dijalankan bagi membanteras pelbagai kegiatan perjudian haram dan pusat panggilan (calling centre) di ibu negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 23 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi bersepadu melibatkan tindakan terhadap aktiviti pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026, perjudian dalam talian, judi nombor ekor haram, perjudian dalam bangunan, judi luar bangunan serta premis yang dijadikan pusat panggilan bagi kegiatan menyalahi undang-undang.

Secara keseluruhan polis merampas wang tunai berjumlah RM45,033 selain merekodkan nilai pertaruhan sebanyak RM96,878.58 dan HKD32,799.75.

“Polis Kuala Lumpur telah melancarkan Op Soga IV – Perjudian Bola Sepak Piala Dunia 2026 (Catit Taruh) bagi membanteras pelbagai kegiatan perjudian yang dijangka meningkat bersempena Piala Dunia FIFA 2026.

“Operasi ini bermula pada 1 Januari hingga 23 Jun 2026 di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi Op Soga IV sahaja, sebanyak 22 serbuan dilakukan dengan 24 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.

Polis turut merampas wang tunai RM25,020 selain pelbagai peralatan termasuk komputer riba, telefon bimbit, iPad, modem dan kad sim yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Fadil berkata, polis turut melaksanakan 322 serbuan terhadap kegiatan perjudian dalam talian yang membawa kepada penahanan 341 individu.

“Selain itu, sebanyak 486 serbuan judi nombor ekor haram dijalankan dengan 487 tangkapan dibuat serta rampasan wang tunai RM4,886.

“Bagi perjudian dalam bangunan pula, 16 serbuan dilakukan yang membawa kepada 146 tangkapan, manakala satu serbuan judi luar bangunan merekodkan enam tangkapan,” katanya.

Menurut beliau, polis juga memberi tumpuan kepada premis yang beroperasi sebagai pusat panggilan bagi aktiviti perjudian dan penipuan dengan 21 serbuan dijalankan.

“Hasil operasi tersebut, seramai 152 individu ditahan dan pelbagai peralatan termasuk 58 komputer, 77 komputer riba, 218 telefon bimbit serta peranti komunikasi lain dirampas,” ujarnya.

Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras jenayah, menguatkuasakan undang-undang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast