Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan mengambil tindakan tatatertib ke atas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mengumumkan keluar UMNO serta-merta semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada keperluan perlu diambil oleh parti susulan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu telah menawarkan diri untuk berundur daripada UMNO.

“Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tatartertib yang lakukan dan beliau telah menawarkan diri untuk tidak bersama dengan UMNO.

“Kita menghargai apa yang telah beliau sumbangkan kepada UMNO selama ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau diminta sama ada sebarang tindakan tatatertib ke atas Mohd. Puad yang mengumumkan keluar parti itu serta-merta semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Kali ke-25 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JUN 2026

Semalam, Mohd. Puad mengumumkan keluar parti itu serta-merta di mana keputusan itu dibuat kerana UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal oleh istana.

Pengunduran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Peringit itu dibuat sehari selepas beliau memberi bayangan mengenai satu pengumuman besar yang akan dibuat pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebelum ini, Mohd Puad yang tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN bulan depan dilaporkan berkata, selepas meneliti senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN berkenaan, beliau mendapati ada perkara yang ‘tidak kena’ dengan UMNO Johor.

Namun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan balas mendakwa tindakan Mohd. Puad keluar parti adalah berkait kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di DUN Rengit.

Bagaimanapun Mohd. Puad menafikan tuduhan sebaliknya  menegaskan keputusan itu dibuat beliau sebagai protes kepada sistem pemilihan calon yang diamalkan BN.

Sehubungan itu, beliau menggesa Asyraf Wajdi mendedahkan mengenai beberapa isu berbangkit dengan pemilihan calon BN untuk PRN Johor. – MalaysiaGazette

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderhati selepas menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Kali ke-25 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JUN 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast