JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya menabur janji baharu sedangkan janji dalam manifesto lama masih tidak mampu ditunaikan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, amat mudah menabur janji dalam manifesto baharu berbanding melaksanakannya.
Menteri Besar Johor itu berkata, keadaan tersebut ini menunjukkan sama ada pemimpim berkenaan ikhlas atau pun tidak.
“Bagi kerajaan PH, daripada mereka nak bercakap pasal manifesto baharu, saya rasa elok mereka bagi tahu rakyat Johor bila mereka nak mula Elevated Antonomous Rapid Transit (E-ART), dah umum dua tiga tahun, bila nak mula Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2)?
“Kemudian, Hospital Pasir Gudang (HPG), daripada segi doktor, jururawat dan penjawat di situ, kata nak pastikan capai 100 selesai Jun tahun ini, tetapi sampai hari ini tidak selesai.
“Saya rasa untuk mereka nak menjanjikan sesuatu itu, orang dah tak percaya,” katanya ketika Program Ramah Mesra bersama Penduduk Pangsapuri Bukit Saujana di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, P Pannir Selvam.
Mengulas mengenai manifesto BN yang diumumkan beliau pada 26 Jun lalu, Onn Hafiz berkata, manifesto itu adalah kesinambungan daripada enam teras Maju Johor yang diumumkan pada 2022.
“Ini adalah kesinambungan daripada pelbagai inisiatif-inisiatif yang kita teruskan dari segi agenda perumahan, agenda orang muda dan Bantuan Kasih Johor,” katanya.
Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu sempat berkata, parti lain mungkin sukar berkongsi manifesto kepada rakyat kerana kebanyakkan yang ditawarkan hanya janji manis atau janji bulan dan bintang.
Pada masa sama, sepanjang kempen pilihan raya kali ini, Onn Hafiz berkata, BN akan terus menjaga keharmonian supaya demokrasi yang disuburkan akan dapat diteruskan dan dilaksanakan dengan baik.
“Kita akan teruskan untuk mendekati rakyat kerana kita bukan Kerajaan Perpaduan, kita sedar kita ‘underdog’ dan akan terus kerja kuat untuk menyantuni seramai mana rakyat Johor,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















