JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan menyeludup rokok putih bernilai RM13.4 juta termasuk duti dan cukai kastam di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri pada 8 Jun lalu.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, rampasan tersebut yang merupakan terbesar tahun ini dilakukan dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah kontena di sebuah gudang dalam Kawasan Zon Bebas PTP.
Menurut beliau, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan oleh sepasukan anggota Unit Kawalan Kontena (CCU), Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah pukul 2.30 petang.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kontena berukuran 12.2 meter itu dijalankan hasil maklumat risikan daripada Cawangan Risikan Zon Selatan dengan kerjasama wakil syarikat penghantaran.
“Berdasarkan semakan awal, kontena itu diikrarkan melalui Borang Kastam No. 6, Manifest Transhipment sebagai membawa dagangan Photovoltaic System Components, namun tiada satu barang pun dalam kontena terbabit seperti yang diikrarkan.

“Kontena berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari luar negara iaitu China ke destinasi akhir di Eropah iaitu Lisbon, Portugal,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam di sini, hari ini.
Menurut beliau, rokok putih yang disita adalah 12,000,000 batang dengan anggaran nilai berjumlah RM4,800,000, manakala anggaran duti dan cukai yang terlibat pula adalah sebanyak RM8,664,000.
Katanya, jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai adalah dianggarkan sebanyak RM13,464,000.
Aminul Izmeer berkata, modus operandi sindiket itu adalah membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan bagi tujuan menyeludup rokok tak berkastam, bagaimanapun siasatan mendapati rokok berkenaan bukan untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, usaha mengesan sindiket yang terbabit serta pemilik premis gudang berkenaan sedang dijalankan bagi membantu siasatan lanjut yang dibuat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan tidak benar.
Ujarnya, rokok adalah barang larangan import di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.- MalaysiaGazette
















