BUKIT GAMBIR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sangat kritikal bagi memastikan pembangunan negeri yang sedang rancak berjalan ketika ini dapat diteruskan demi manfaat penduduk negeri itu.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Johor ketika ini merupakan negeri yang menerima pelaburan tertinggi iaitu jauh mengatasi pencapaian di Selangor dan Pulau Pinang.
Malah, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, di bawah pentadbiran BN sebagai kerajaan negeri sejak 2022, Johor kini melonjak ke tangga teratas dari segi jumlah pelaburan diterima berbanding di tangga ketujuh ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

“Sejak kita ambil alih Johor, kita tak memandang ke belakang lagi.
“Berpuluh-puluh bilion pelaburan telah pun diluluskan khususnya yang datang untuk melabur di kawasan khas ekonomi Johor-Singapura (Special Economic Zone).
“Dalam masa tiga ke empat tahun, apabila kawasan ini sudah mula beroperasi, hasil kerajaan negeri Johor akan bertambah berkali-kali ganda.
“Sebab itu kita mesti pertahankan Johor ini, jangan nanti kita tanam pokok, orang lain yang makan buahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Taklimat Bersama Timbalan Presiden UMNO bersama jentera UMNO BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Sawah Ring, di sini hari ini.
Turut hadir, calon BN DUN Gambir, Sahrihan Jani.
Menurut Mohamad, kerajaan negeri Johor juga perlu dipastikan terus berada di bawah BN kerana parti itu menawarkan kestabilan politik yang penting bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terganggu atau terencat.
Katanya, selepas pilihan raya umum (PRU) 2018, situasi di Johor disifatkan `huru-hara’ disebabkan parti politik yang membentuk kerajaan negeri ketika itu tidak cekap, selain turut menyaksikan dua kali pertukaran Menteri Besar.
“Jadi jentera BN khususnya di Gambir; Tangkak dan Serom perlu ingatkan kepada pengundi mengapa mereka perlu kekalkan BN.
“Ini kerana BN di Johor sedang menanam pokok, dan pokok ini tumbuh dengan baik jika tukang kebunnya orang yang sama.
“Kita sudah tengok banyak kali, apabila tukang ladang, tukang kebun, tukang sawah bertukar, maka pokok yang subur tidak dapat tumbuh dengan baik, tidak membuahkan hasil.
“Kita sedag tanam pokok-pokok ini sekarang dan sedang menerima banyak lagi anak benih yang baik-baik yang datang ke Johor,” katanya. – MalaysiaGazette
















