KUALA LUMPUR – Pembangkang mencadangkan agar kerajaan mewujudkan skim pampasan khas kepada mangsa jenayah seksual kanak-kanak bagi membantu menampung kos rawatan, pemulihan psikologi serta pendidikan susulan kes penderaan yang memberi kesan jangka panjang.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat berkata, pampasan tersebut wajar dimasukkan dalam pindaan akta sebagai sebahagian usaha memastikan kebajikan mangsa terus terbela.
Menurut beliau, mangsa bukan sahaja berdepan kesan fizikal malah turut mengalami trauma emosi dan psikologi yang memerlukan sokongan berterusan selepas kejadian.
“Beberapa negara seperti United Kingdom, New Zealand, Perancis, Jerman, Kanada dan Australia telah menetapkan skim khas untuk membiayai dan memberikan pampasan kewangan kepada mangsa bagi menampung kos rawatan, psikologi, pendidikan serta latihan pemulihan,” katanya.
Dalam masa sama, Mumtaz berkata, pendekatan hukuman terhadap pesalah juga perlu mengambil kira kesan kekal yang ditanggung mangsa akibat perbuatan jenayah tersebut.
Beliau turut membangkitkan cabaran baharu jenayah seksual kanak-kanak yang kini semakin kompleks susulan perkembangan teknologi digital dan penggunaan platform dalam talian.
Katanya, pindaan berkaitan bidang kuasa luar wilayah perlu diperkasa memandangkan banyak kes kini melibatkan platform digital serta penyedia perkhidmatan yang berada di luar negara.
“Jenayah hari ini semakin kompleks apabila platform digital berada di seluruh dunia. Penyiasatan sering tergendala kerana kekurangan akses kepada data daripada syarikat media sosial dan aplikasi luar negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mekanisme bantuan antarabangsa dan saluran khas mendapatkan bukti elektronik dipercepatkan bagi memastikan proses siasatan kes melibatkan kanak-kanak dapat berjalan lebih berkesan.
Beliau berkata, pindaan akta berkenaan perlu memastikan perlindungan kanak-kanak bukan sahaja tertumpu kepada hukuman terhadap pelaku, tetapi turut memberi perhatian kepada pemulihan serta masa depan mangsa.
“Anak-anak ini adalah amanah negara dan mereka akan menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya.
Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini, bertujuan memperluas pemakaian undang-undang berkaitan kesalahan itu di luar Malaysia.
RUU yang membabitkan pindaan ke atas Seksyen 3, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.
Berdasarkan naskhah biru RUU itu, pindaan itu akan membolehkan Akta 792 terpakai kepada kategori individu yang lebih luas, yang mempunyai kaitan dengan Malaysia berhubung dengan kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia.
Di bawah Seksyen 3 RUU itu, jika mana-mana kesalahan di bawah Akta 792 atau mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam jadual yang mangsanya ialah seorang kanak-kanak, dilakukan di mana-mana tempat di luar Malaysia oleh seorang warga Malaysia atau pemastautin tetap Malaysia atau seseorang yang mempunyai tempat tinggal lazim di Malaysia, kesalahan itu boleh diambil tindakan. – MalaysiaGazette
















