Gambar ihsan PDRM

KULAI – Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.59 juta dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pukul 10.50 pagi itu adalah hasil risikan berterusan pihak polis dengan kerjasama orang awam.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun ditahan selepas serbuan dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan di dalam rumah itu menemui pelbagai jenis dadah.

“Kita merampas 16 paket plastik disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 21,766 gram; 44 paket plastik atau 1,888 gram serbuk ekstasi; 1,621 biji atau 570 gram pil ekstasi; 6,400 biji pil erimin 5 dan tiga paket ketamin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah 26.94 kilogram dengan nilai pasaran dadah dianggarkan bernilai RM3.59 juta yang mampu digunakan 90,277 penagih.

Menurut beliau, kedua-dua suspek berperanan aktif sebagai pengedar dadah dan dipercayai aktif sejak awal Januari lalu.

Ujarnya, modus operandi mereka adalah menjadikan rumah kediaman sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, isterinya negatif sebarang penyalah gunaan dadah, katanya.

Beliau memberitahu, hasil semakan juga mendapati suspek lelaki turut memiliki satu rekod kesalahan lampau kes dadah.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari shingga 1 julai nanti bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Kata Ab Rahaman, ketika serbuan dibuat, polis turut menyita tiga kereta, wang tunai RM25,000 dan pelbagai barang kemas dengan jumlah keseluruhan sitaan adalah sebanyak RM206,752.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast