KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi disyaki tidak diperakui disita oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.06 juta pada 24 Jun lalu.
MCMC berkata, kesemua rampasan itu dilakukan menerusi Op V380 berdasarkan hasil maklumat risikan dengan kerjasama strategik SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku agensi pemerakuan berdaftar.
“Serbuan ini menyasarkan sebuah syarikat dipercayai terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan oleh MCMC.
“Antara kelengkapan komunikasi yang disita adalah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) termasuk komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router) bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang, termasuk TikTok Shop dan Shopee,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah MCMC, seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
“Selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi,” jelasnya,
Kes akan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette
















