Tren LRT3 Laluan Shah Alam membawa penumpang pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026.

KUALA LUMPUR – Laluan Shah Alam yang dikendalikan oleh Rapid KL merekodkan 60,000 perjalanan penumpang di hari pertama operasinya pada semalam.

Jumlah tersebut merangkumi keseluruhan penggunaan rangkaian Laluan Shah Alam, termasuk perkhidmatan tren, bas perantara dan Rapid KL On-Demand (ROD) yang saling melengkapi bagi menyediakan perjalanan yang terhubung dan lancar kepada pengguna.

Daripada jumlah tersebut, 58,865 perjalanan direkodkan melalui perkhidmatan tren, manakala 3,319 perjalanan lagi menerusi rangkaian first-last mile Rapid KL, melibatkan 1,883 perjalanan menggunakan bas perantara dan 1,436 perjalanan melalui perkhidmatan ROD.

Rapid KL berkata, sambutan pada hari pertama operasi ini menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap pilihan mobiliti baharu itu, membuktikan keperluan sebuah rangkaian rel yang menghubungkan kawasan kediaman, pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan hab komersial di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, sambutan itu merupakan petanda positif terhadap penerimaan masyarakat terhadap laluan baharu tersebut.

“Ini merupakan permulaan yang amat memberangsangkan. Kami akan terus memantau corak perjalanan penumpang, prestasi operasi dan maklum balas pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan terus dipertingkat apabila semakin ramai mula menggunakan laluan ini,” ujarnya.

Rapid KL telah menempatkan petugas operasi, pegawai stesen serta Rapid Troopers di kesemua stesen Laluan Shah Alam bagi membantu penumpang mendapatkan maklumat perjalanan, serta menunjukkan cara-cara menggunakan kemudahan stesen serta bagaimana untuk membuat pertukaran kepada perkhidmatan bas perantara dan ROD.

Menurutnya, tambang percuma bagi semua perjalanan menggunakan Laluan Shah Alam dan perkhidmatan bas perantara di sepanjang jajaran laluan tersebut masih diteruskan sehingga 31 Julai 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast