BUKIT GAMBIR – Calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Suraya Sulaiman menafikan diboikot jentera Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurut Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor itu, beliau menerima dokongan jentera kedua-dua parti komponen PN itu sejak hari pertama kempen PRN Johor.
Malah, katanya, penyokong dan ahli Pas dan Bersatu turut bersama-samanya berarak bagi memberikan sokongan serta kata-kata semangat kepadanya pada hari penamaan calon, Sabtu lalu.
“Pemimpin serta ahli-ahli Bersatu dan Pas sentiasa bekerjasama dengan Pejuang di DUN Gambir ini, apatah lagi kebanyakan ketua-ketua pusat daerah mengundi (PDM) PN di sini adalah daripada kalangan Bersatu dan Pas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Suraya ditanya berkenaan dakwaan kononnya beliau diboikot oleh jentera Pas dan Bersatu dalam usahanya merampas DUN Gambir pada PRN Johor kal ini.
Persoalan itu dibangkitkan selepas beliau dilihat sering bergerak dalam kumpulan kecil ketika berkempen, selain wujud desas-desus kononnya pemilihan beliau bagi mewakili PN di kerusi itu dibantah beberapa pihak di dalam Pas dan Bersatu di kawasan Gambir.
Spekulasi itu diperkukuhkan lagi apabila bahan kempen PN seperti poster dan banting bagi mempromosikan Suraya dan PN seolah-olah tidak kelihatan atau tenggelam di sekitar DUN Gambir.
Menjelaskan perkara itu, Suraya berkata, bahan-bahan kempen beliau sedikit lewat disiapkan memandangkan pemilihan Pejuang untuk bertanding mewakili PN di DUN Gambir diputuskan disaat-saat akhir.
“Sekarang isu itu sudah selesai dan kita akan mula pasang lebih banyak bendera dan poster bagi mempromosikan Pejuang dan PN di DUN Gambir ini.
“Malah, jentera Pas dan Bersatu ketika ini juga sangat aktif berkempen untuk PN di sesetengah tempat,” katanya.
Sehubungan itu, Suraya menambah, beliau berharap para pengundi PN khususnya penyokong Pas dan Bersatu tidak `termakan’ dengan dakwaan tersebut sehingga boleh menjejaskan sokongan mereka kepada PN pada hari pengundian nanti.
Jelasnya, para penyokong dan ahli Pas serta Bersatu juga peru memperlihatkan kepada orang ramai bahawa PN kekal utuh dan merupakan alternatif terbaik buat mereka khususnya dalam penyatuan ummah. – MalaysiaGazette
















