KUALA LUMPUR – Enam pegawai kanan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang terkait dengan dakwaan salah urus kini digantung tugas mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tindakan selanjutnya tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, mereka dikenakan tindakan tatatertib susulan isu salah urus seperti dalam laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“HRD Corp memberi jaminan bahawa keseluruhan proses ini dilaksanakan secara adil dan telus. Sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran undang-undang tidak akan dikompromi bagi memastikan integriti dan kepentingan dana terus terpelihara,” katanya. dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta penjelasan apa tindakan perundangan akan diambil terhadap enam pegawai kanan yang digantung.
Antara isu dibangkitkan sebelum ini adalah berkait isu pengurusan levi yang dikutip agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertanggungjawab menggalakkan pembangunan kemahiran tenaga kerja di Malaysia itu.
LKAN 2024 turut mengesyorkan supaya KESUMA merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan selepas agensi berkenaan gagal dalam auditnya.
Sementara itu, PAC mendedahkan panel pelaburan syarikat itu tidak melaporkan aktiviti pelaburan dengan sewajarnya kepada lembaga pengarah, selain levi yang dikutip digunakan secara ‘agresif’ untuk pelaburan berisiko tinggi. – MalaysiaGazette















