KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op SOGA XI secara bersepadu di seluruh negara bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen, khususnya pertaruhan sukan dan perjudian dalam talian sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, operasi yang bermula sempena kejohanan itu akan memberi tumpuan kepada pemantauan dan tindakan terhadap sindiket perjudian dalam talian serta premis perjudian haram yang dijangka semakin aktif sepanjang temasya sukan berkenaan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
Menurut beliau, Op SOGA XI dilaksanakan secara agresif dan menyeluruh melibatkan semua kontinjen negeri dengan fokus terhadap aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian termasuk platform, laman sesawang serta promosi menerusi akaun media sosial.
“Operasi ini turut menyasarkan aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal membabitkan premis perjudian haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan serta pihak yang mempromosikan kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan turut memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguat kuasa dan kawal selia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti dan menyekat platform, laman sesawang serta transaksi yang digunakan sindiket perjudian haram.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjudian dan pertaruhan haram sama ada sebagai pemain, ejen, pengutip pertaruhan mahupun penganjur kerana tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“PDRM komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perjudian tanpa lesen dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang ramai juga diseru supaya terus menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membantu usaha Jabatan Siasatan Jenayah membanteras kegiatan tersebut secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette
















