KUALA LUMPUR – Pelakon Nabila Huda terpaksa membatalkan semua aktivitinya apabila berdepan masalah tulang belakang yang kembali menyerang gara-gara sakit cakera tergelincir (slip disc).
Nabila atau nama lengkapnya Nabila Huda Suhaimi, 41, berkata, dia kini hanya berehat dan berbaring sahaja di dalam rumah disebabkan mengalami kesukaran untuk bergerak.
“Masa hari cuti inilah slip disc menyerang. Orang sudah rancang aktiviti hari ini. Hendak pergi gimnasium, pergi restoran Ben’s, memasak dan basuh pakaian.
“Sekarang hanya mampu baring sahaja, tak boleh bergerak,” katanya menerusi perkongsian media sosial di sini hari ini.
Nabila atau mesra disapa Abil bagaimanapun mengaku bahawa sakit yang menyerang semula adalah atas kesilapan sendiri.
“Ini yang berlaku apabila saya terlebih menggunakan badan saya.
“Saya degil, melakukan kerja berat, mengabaikan sesi fisioterapi, tidak mengendahkan amaran dan sekarang, slip disc kembali menyerang,” tulis di Insta Story miliknya.
















