JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki menegaskan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada program Jelajah TVET Mara baru-baru ini bukan untuk berkempen.
Beliau yang juga Pengerusi Mara berkata, dakwaan bahawa program berkenaan dijadikan platform berkempen adalah tidak tepat.
“Jelajah TVET Mara adalah program nasional yang dilaksanakan di seluruh negara dan program yang diadakan di Johor itu adalah siri ke-108 yang dianjurkan sebagai usaha memperkenalkan peluang TVET kepada golongan muda.
“Saya sudah katakan itu bukan dan tidak ada kaitan dengan parti politik ya, tak ada logo parti, tak ada banner parti dan sebagainya, ya kan?
“Hanya viralkan sebahagian daripada (program itu) tidak menggambarkan semua. Macam hari inilah, you tengok program ini adalah program yang kita buat di seluruh negeri Johor bukan seluruh negeri Johor sahaja, seluruh Malaysia.
“Program Jelajah TVET itu sebenarnya yang ke-108. Kita pergi semua 191 Parlimen di seluruh negara, dah 108 (setakat ini). Jadi MB sebagai Menteri Besar, dia hadir. Itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di sini hari ini.
Asraf Wajdi berkata, penyertaan pelajar dalam program berkenaan juga adalah secara sukarelawa tanpa sebarang paksaan.
Isnin lalu, lima calon Pakatan Harapan (PH) mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan program jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai alat dan kempen politik untuk meraih sokongan daripada golongan muda.
Dakwa mereka, program Jelajah TVET sepatutnya menjadi ruang untuk pelajar mengenali peluang pendidikan, kemahiran dan masa depan kerjaya mereka.
Terdahulu terdapat satu video memaparkan Onn Hafiz bercakap dan menyarankan supaya mengundi calon BN semasa program jelajah TVET. – MalaysiaGazette
















