KUALA LUMPUR – Industri makanan dan minuman (F&B) yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, usia dan latar belakang kini diangkat ke pentas teater menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah yang bakal dipentaskan selama tiga hari di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Atan berkata, pemilihan tema kulinari itu bukan sahaja mengetengahkan dunia F&B sebagai latar cerita, malah menjadi medium menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasakan generasi muda menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam sektor kulinari.
Menurutnya, bidang kulinari mempunyai potensi besar dalam membina kerjaya, selain semakin mendapat perhatian menerusi pelbagai karya drama tempatan dan antarabangsa.
“Melihat bidang kulinari berpotensi membina kerjaya terbaik dan popularitinya sering diangkat baik dalam drama tempatan mahupun luar negara, maka CTRA Production turut mengambil tema serupa dengan menerapkan elemen mendidik sambil berhibur.
“Pada masa sama, Teater Muzikal Tomyam Berdarah juga menjadi platform menyemarakkan minat dan pendedahan kepada generasi muda terhadap bidang kemahiran, nilai kreativiti dan apresiasi terhadap industri seni persembahan tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Tomyam Berdarah di Istana Budaya, di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan tokoh dan budayawan yang banyak menyumbang dan memperjuangkan institusi bahasa dan kebudayaan negara, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan.
Mengulas lanjut Siti Rohayah berkata, naskhah berkenaan turut menampilkan sentuhan tenaga pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Aloeng Silalahi yang bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.
“Menariknya, karya ini turut dibintangi barisan pelajar USIM dan UKM, sekali gus memberi peluang kepada bakat muda untuk menimba pengalaman secara langsung dalam produksi teater,” katanya.
Sementara itu, Aloeng berkata, Tomyam Berdarah merupakan pementasan kali keempat oleh kumpulan ATRA USIM selepas melalui beberapa evolusi persembahan sejak 2024.
“Selepas persembahan penutup pada Anugerah Festival Teater UKM 2024, ia dipentaskan semula dalam bentuk teater muzikal interaktif pada Atra Semester Showcase 2025.
“Kemudian, versi hampir sama dipersembahkan pada Festival Teater Segara ASEAN di Universitas Indonesia pada tahun sama” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, versi terbaharu yang bakal dipentaskan di Panggung Seni UKM itu melalui proses penambahbaikan khususnya dari segi lagu dan koreografi.
Dalam pada itu, pelakon Karl Shafek yang membawa watak Chef Rahman, pemilik Restoran Rahman Berkatmaju berkata, peluang tersebut diterima tanpa berfikir panjang selepas hampir setahun mencari naskhah teater untuk kembali beraksi di pentas.
“Bagai pucuk dicita ulam mendatang, hampir setahun mencari-cari naskhah teater untuk melepaskan rindu, tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju menerima tawaran membintangi Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
“Ini juga merupakan projek teater ketiga saya bekerjasama dengan CTRA Production selepas Ombak Rindu dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck,” katanya.
Pelakon Juhara Ayob pula berkata, penglibatannya dalam karya berkenaan menjadi cabaran baharu kerana ia merupakan kali pertama beliau berlakon dalam teater bergenre muzikal dan komedi.
“Biarpun nyanyian bukan kepakaran saya, tetapi saya sahut cabaran ini dan sentiasa berbincang dengan pengarah agar watak Bonda Roti yang dibawa meninggalkan kesan terhadap penonton.
“Saya juga berbesar hati apabila berpeluang bekerjasama dan berkongsi pengalaman bersama barisan pelakon bakat muda daripada UKM dan USIM,” katanya.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan pada 28, 29 dan 30 Ogos ini di Panggung Seni UKM, Bangi dengan mengetengahkan gabungan elemen kulinari, komedi, muzik dan kreativiti generasi muda.
Bagi yang berminat menyaksikan persembahan ini, tiket ditawarkan pada harga RM25 dan RM35. Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com atau melalui WhatsApp Hotline di talian 011-13297822. – MalaysiaGazette
















