tunggu kapsyen
BERA – Bayangkan satu sampel perubatan yang diambil di Hospital Bera tidak lagi perlu menempuh perjalanan darat sejauh kira-kira 20 kilometer ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Sebaliknya, sampel itu diterbangkan menggunakan dron bagi memendekkan masa penghantaran dan mempercepatkan proses analisis di makmal.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir. Razali Kassim berkata, Projek Rintis (Proof of Concept – POC) Penghantaran Dron Perubatan antara Hospital Bera dan HOSHAS kini memasuki fasa kelulusan seterusnya.

Projek berkenaan bukan sekadar menguji kemampuan dron untuk terbang, sebaliknya menilai sejauh mana teknologi itu boleh digunakan dalam membantu logistik perkhidmatan kesihatan.
“Jarak penghantaran melalui dron mengambil masa 20 minit bagi perjalanan melalui udara dari Hospital Bera ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS),” katanya.

Lebih membanggakan kemajuan teknologi itu diterokai pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara.
Projek ini memperlihatkan potensi teknologi dron untuk penghantaran sampel darah antara dua buah hospital sekali gus memperlihatkan potensi teknologi dron dalam menyokong sistem logistik penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inovatif.
“Kejayaan pelaksanaan PoC Penghantaran Dron Perubatan menjadi satu pencapaian penting dalam usaha meneroka penggunaan teknologi baharu bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Projek berkenaan telah melepasi kelulusan fasa pertama dan sedia dilaksanakan bila-bila masa bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus Majlis Pengiktirafan Pencapaian Projek Penghantaran Dron Perubatan Hospital Bera di Hospital Bera hari ini.
Jelas Razali, Pahang mempunyai keunikan dan cabaran tersendiri dari segi keluasan kawasan, jarak antara daerah serta perbezaan tahap akseskepada kemudahan dan perkhidmatan.
Lantaran itu, kerajaan negeri sentiasa melihat penggunaan teknologi sebagai salah satu pendekatan yang boleh membantu kita mencari kaedah penyampaian perkhidmatan lebih sesuai dengan keperluan semasa, katanya.
Beberapa kawasan pedalaman lain juga dilihat bagi akses tersebut di negeri ini jika projek ini berjaya dilaksanakan nanti.
Beliau akui teknologi seperti dron mempunyai potensi yang menarik untuk diterokai.
Menurutnya Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik perkembangan seperti ini dan melihatnya sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina sebuah negeri yang lebih responsif terhadap perkembangan teknologi.
Sehingga kini lebih 100 penerbangan dilakukan melibatkan maksimum 20 kilogram memuatkan 30 sampel perubatan setiap kali penghantaran.
Difahamkan, Tawau merupakan sasaran kedua selepas Pahang bagi projek berkenaan. – MalaysiaGazette
















