KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat ketika memandu sebelum kenderaannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kajang – Semenyih semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar 3.20 petang.
“Siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebauh kereta Honda yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 46 tahun.
“Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia berusia 64 tahun ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju ke Semenyih sebelum dipercayai mengalami serangan jantung sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, lori dipandu mangsa telah mengundur dan melanggar kereta Honda yang berada di belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam hari ini.
Tambah Naazron, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan saluran jantung tersumbat.
Kes kemalangan disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Malaysia 1959 manakala kes kematian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















