David Cheong Kian Young

JOHOR BAHRU – Prestasi ekonomi yang dicapai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) wajar dijadikan rujukan oleh pengundi Johor dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong berkata, rekod pentadbiran di tiga negeri itu membuktikan kerajaan yang cekap mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Rakyat Johor merupakan pengundi yang matang dan bijaksana. Pilihlah kerajaan yang mempunyai visi jelas, pelan pembangunan yang menyeluruh serta komitmen membawa kemajuan yang dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Selangor berkata, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang merekodkan jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) keseluruhan sebanyak RM637.9 bilion.

Katanya, dalam tempoh sama, ketiga-tiga negeri itu berjaya memperoleh pelaburan diluluskan bernilai RM156.7 bilion, mewujudkan lebih 303,000 peluang pekerjaan baharu selain menyiapkan lebih 38,000 unit rumah mampu milik.

Ujar beliau, Selangor terus muncul sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara apabila KDNK negeri itu berkembang kepada RM413.6 bilion, disokong pelaburan RM85.6 bilion serta hampir 190,000 peluang pekerjaan baharu.

Beliau berkata, Negeri Sembilan pula mencatatkan pertumbuhan ekonomi kepada RM76.8 bilion hasil pelaburan RM21.8 bilion, manakala Pulau Pinang merekodkan KDNK RM147.5 bilion dengan pelaburan mencecah RM49.3 bilion, mengukuhkan kedudukan kedua-dua negeri sebagai hab pembangunan dan industri.

“Semua pencapaian ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur moden, penyediaan rumah mampu milik serta peningkatan kualiti hidup rakyat,” jelas beliau.

Mengulas PRN Johor, David berkata, masa depan negeri itu tidak seharusnya ditentukan oleh politik yang berpusat kepada individu, sebaliknya berpaksikan dasar serta rekod pentadbiran yang mampu membawa kemajuan secara menyeluruh.

“Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi antara negeri paling maju di negara ini sekiranya dipacu dengan dasar yang jelas, tadbir urus yang baik dan pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast