KULAI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dianggap sukar dan mencabar untuk Barisan Nasional (BN) Johor kerana didakwa ‘berlawan’ dengan Kerajaan Persekutuan semasa berkempen.
Lantaran itu, Pengerusi BN Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang meluahkan perkara tersebut mahu semua calon BN mempunyai jati diri, mental dan semangat yang kuat.
Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai berkata, tempoh kempen kali ini yang sudah memasuki hari ke-11 dirasakan sangat lama berbanding PRN ke-15.
“Saya harap calon-calon baharu tidak pernah takut, letih atau putus semangat setiap hari dan sampai hari ke-11 kempen (dilihat masih) terus semangat.
“Dahulu semasa pertama kali saya jadi calon pada penggal pertama terasa cepat masa berlalu,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam program Perjumpaan Masyarakat Daerah Kulai di tanah lapang Taman Manis, Kelapa Sawit di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; calon DUN Senai, Kiki Tai dan calon DUN Bukit Batu, R Kumaran.
Mohd Jafni yakin, DUN Senai boleh dirampas pada kali ini jika jentera BN dapat menawan hati kira-kira 3,000 pengundi atas pagar untuk memilih gabungan tersebut.
Sementara itu, Kiki yang juga Timbalan Ketua Biro Beliawanis MCA Johor memohon pengundi memberikannya peluang untuk berkhidmat di DUN Senai.
Jika diberi mandat katanya, akan menggunakan pendekatan Onn Hafiz yang sentiasa turun padang menyantuni pelbagai lapisan rakyat.
Kumaran pula berkata, setiap undi adalah penting serta tidak perlu diia-siakan dan pengundi perlu memastikan keluar beramai-ramai untuk mengundi Sabtu ini.- MalaysiaGazette
















