JOHOR BAHRU – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin mendakwa corak kempen pihak lawan pada minggu terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin menjurus kepada serangan peribadi dan permainan sentimen, berbanding menawarkan dasar serta penyelesaian kepada isu yang dihadapi rakyat.
Beliau mendakwa, pemerhatiannya sepanjang tempoh dua minggu kempen mendapati beberapa naratif yang dibawa pembangkang berubah mengikut keadaan.
Namun, semakin hampir hari pengundian, pendekatan mereka dilihat semakin negatif dan menjurus kepada usaha menyerang individu tertentu.
Hafiz yang juga Ketua Pemuda UMNO Sembrong berkata, perkembangan itu menunjukkan pihak lawan semakin terdesak selepas beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini gagal memberi impak seperti diharapkan.
“Pada pemerhatian saya, minggu terakhir kempen menyaksikan taktikal pihak lawan berubah dan menjadi semakin tertumpu kepada serangan peribadi serta menunjukkan mereka semakin terdesak.
“Apabila disusun mengikut kronologi, jelas kelihatan corak kempen yang lebih banyak memainkan sentimen toksik berbanding menawarkan persaingan yang sihat dan progresif,” katanya.
Menurut Hafiz, antara naratif awal yang dimainkan ialah dakwaan pembangunan Johor hanya dapat dilaksanakan melalui projek Kerajaan Persekutuan, selain menggambarkan rakyat negeri itu sebagai tidak menghargai sumbangan kerajaan pusat.
Katanya, apabila pendekatan itu didakwa gagal mendapat sambutan, pihak lawan beralih kepada politik identiti dengan membangkitkan isu hubungan politik melibatkan DAP bagi mempengaruhi sentimen pengundi.
“Pihak lawan kemudian mengalihkan tumpuan kepada serangan terhadap individu, termasuk cuba membentuk persepsi negatif terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menerusi pelbagai label yang menurutnya tidak menyentuh soal dasar atau pentadbiran.
“Pada saya, ini bukan lagi perbahasan mengenai polisi atau hala tuju negeri, tetapi lebih kepada cubaan menjatuhkan kredibiliti seseorang,” ujarnya.
Menurutnya, pihak lawan turut menjadikan cabaran berdebat sebagai sebahagian daripada strategi kempen selain mempertikaikan manifesto BN, walhal sebahagian daripada tawaran itu telah dilaksanakan manakala bakinya sedang dalam proses pelaksanaan.
Hafiz berkata, apabila isu manifesto didakwa gagal memberi kesan, pihak lawan kembali mengitar semula isu lama termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya telah dijadikan bahan kempen sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Semakin hampir hari pengundian, semakin banyak isu lama diulang. Sedangkan terdapat pelbagai isu semasa yang juga wajar diberikan perhatian dan penjelasan kepada rakyat,” katanya.
“Walhal ada kes baharu yang masih berjalan dan menunggu jawapan seperti skandal saham, kes perlombongan, dakwaan mafia korporat, isu perlombongan di Sabah serta dakwaan melibatkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri,” katanya lagi.
Beliau berpendapat, kempen yang terlalu bergantung kepada serangan peribadi dan mengitar semula isu lama tidak akan membantu rakyat membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan Johor.
Beliau berpandangan kempen pilihan raya seharusnya tertumpu kepada tawaran dasar, pembangunan negeri, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat serta penyelesaian terhadap kos sara hidup, bukannya bergantung kepada serangan peribadi atau memainkan sentimen bagi meraih sokongan pengundi.
“Persoalan buat kita di Johor, adakah kita mahu memberikan sokongan kepada pihak yang menggunakan gaya kempen sebegini? Atau kita pilih pihak yang bekerja berdasarkan prestasi dan rekod untuk masa depan,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi supaya membuat penilaian berdasarkan pencapaian dan rekod pentadbiran, bukannya dipengaruhi kempen berasaskan sentimen atau serangan terhadap individu menjelang hari pengundian. – MalaysiaGazette
















