BATU PAHAT – Perdana Menteri, menegur Menteri Besar Johor kerana tidak menghadiri mesyuarat bersama semua menteri besar dan ketua menteri yang dipengerusikannya dua hari lalu bagi membincangkan isu serta pembangunan rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua ketua-ketua negeri hadir ke mesyuarat itu kecuali Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan penting kerana menjadi platform membincangkan pelbagai isu rakyat serta usaha membangunkan negeri secara bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Saya ada tugas…dua hari lalu saya panggil semua menteri besar dan premier bermesyuarat di Kuala Lumpur.
“Premier Sarawak datang, semua menteri besar datang, semua ketua menteri datang, tapi kadang-kadang Johor ingat itu tak penting.
“Banyak kali mesyuarat satu sahaja menteri besar tak datang. Apa pasal? Ini masalah kita. Kita nak bincang masalah rakyat, bagaimana nak bangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan program Yok! Meriahkan Johor Undi Harapan di Banang Jaya, Senggarang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini malam ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PH.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Hatapan (PH) berkata, rakyat khususnya golongan muda perlu memilih pemimpin yang berprinsip dan berintegriti, bukannya pemimpin yang korup atau sombong.
Katanya, sesuatu kaum tidak akan rugi jika dipimpin oleh pemimpin yang berprinsip, namun akan menerima kesan buruk sekiranya pemimpin menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri.
“Melayu tak rugi kalau pemimpinnya berprinsip. Melayu rugi kalau pemimpin itu korup, kalau pemimpin itu sombong, ada peluang sahaja sapu.
“Cina pun begitu, pilih wakil yang boleh mewakili kepentingan masyarakat Cina dan Malaysia. India pun begitu. Barulah boleh aman negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















