Calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof ketika berkempen di sekitar pekan Bukit Gambir.

BUKIT GAMBIR – Berbaki sehari sahaja lagi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof melahirkan rasa lega dan puas kerana dapat menyantuni keseluruahan pengundi di kawasan itu.

Menurut Mohd Nor berkata, meskipun penat kerana jadual yang padat sepanjang kira-kira 14 hari berkempen, namun rasa itu diketepikan demi memastikan dapat bertemu kesemua pengundinya.

Tambahnya, beliau juga tidak berdepan halangan atau kesukaran dalam mendekati pengundinya dari pelbagai latar belakang kaum dan kumpulan masyarakat, kerana kerja-kerja seperti itu sudah kerap dilakukan ketika bertugas di Pusat Khidmat Parlimen Ledang.

“Alhamdulillah, sepanjang dua minggu tempoh berkempen PRN Johor ini, saya dapat bertemu kesemua pengundi di DUN Gambir.

“Saya juga terharu kerana sambutan yang diberikan penduduk sangat mesra dan menerima kehadiran saya meskipun saya adalah muka baharu yang bertanding di sini.

“Saya berharap sokongan dan sambutan daripada pengundi itu dapat diterjemahkan di peti undi esok,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof bercakap kepada media selepas menyantuni masyarakat cina sambil mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, beliau turut mengambil maklum dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang berkempen kira-kira dua minggu lalu.

Jelas beliau, sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi esok, segala isu dan masalah itu akan diusahakan supaya dapat diselesaikan serta disalurkan segera kepada agensi-agensi bertanggungjawab.

Dalam masa sama, katanya, beliau juga akan memastikan segala tekad yang dijanjikan kepada pengundi di DUN Gambir akan dilaksanakan memandangkan ia merupakan amanah yang ditawarkannya kepada penduduk di kawasan itu.

“Saya berharap pengundi DUN Gambir dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih esok dan membuat keputusan yang bijak dalam memilih calon dan parti yang dapat menjamin masa depan mereka serta kawasan ini kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast