JOHOR BAHRU – Polis menerima 90 laporan polis melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula Sabtu lalu sehingga malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 25 kertas siasatan dibuka yang kebanyakannya adalah kesalahan kecil.
“Saya percaya ini tidak akan menimbulkan keresahan ataupun ketegangan di antara pengundi dan juga semua petugas-petugas dalam pilihan raya kali ini.

“Kebanyakan kes-kes ini yang kita siasat adalah lebih kepada kes khianat di mana ada beberapa individu tertentu yang sedang kita siasat telah mengambil tindakan untuk mencabut ataupun cuba merosakkan bendera dan juga beberapa benda perkara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar semasa meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Katanya, kesalahan tersebut tidak melibatkan calon atau pemimpin politik serta pihaknya masih menyiasat pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit.
Mohd Khalid memberitahu, seramai 5,600 anggota dan pegawai polis dari luar negeri datang membantu menjadikan semua yang bertugas keseluruhan berjumlah 14,000.
Jelasnya, anggota terbabit yang bertugas adalah bagi memastikan keamanan dan kelancaran di pusat mengundi lancar termasuk di semua aliran trafik terbabit.
“Pada masa ini saya melihat semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah untuk polis memastikan keselamatan, ketenteraman dan kawalan lalu lintas berada pada tahap yang sempurna,” katanya.
Seramai 2.7 juta rakyat Johor layak mengundi pada PRN Johor ke-16.- MalaysiaGazette















