Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa kerajaan mewujudkan satu garis panduan yang jelas, seragam dan lebih berperikemanusiaan bagi pengurusan penghormatan terakhir jenazah.

Ia susulan insiden yang tular baru-baru ini melibatkan dakwaan sebuah keluarga tidak dibenarkan membawa pulang jenazah ke kediaman untuk memberikan penghormatan terakhir.

Presidennya, Datuk N. Sivakumar berkata, walaupun pihaknya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan terhadap insiden berkenaan, perkara itu wajar dijadikan pemangkin untuk menambah baik prosedur sedia ada agar lebih jelas, sistematik dan mengambil kira keperluan keluarga sedang berdepan detik kehilangan insan tersayang.

Katanya, setiap keluarga tanpa mengira agama atau kaum berhak diberikan ruang yang sewajarnya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga mereka dengan penuh hormat dan bermaruah.

Ini selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau menjejaskan siasatan serta kepentingan kesihatan awam.

“Pengurusan jenazah bukan sekadar melibatkan aspek pentadbiran atau pematuhan kepada prosedur semata-mata, malah ia turut menyentuh nilai kemanusiaan, maruah keluarga serta sensitiviti agama dan budaya masyarakat majmuk di negara ini.

“Setiap agama mempunyai amalan dan adat tersendiri dalam memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Oleh itu, aspek ini perlu diberi perhatian sewajarnya ketika merangka atau melaksanakan sesuatu prosedur,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Sivakumar, Mahima mencadangkan supaya kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan menggubal satu garis panduan kebangsaan yang komprehensif mengenai pengurusan penghormatan terakhir jenazah.

Khususnya bagi kes yang melibatkan kematian di hospital, kematian mengejut, siasatan forensik atau keadaan lain yang memerlukan prosedur khas.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kekangan yang menyebabkan jenazah tidak dapat dibawa pulang ke kediaman atas faktor perundangan, siasatan, kesihatan awam atau sebab-sebab lain yang munasabah.

Kerajaan disaran menyediakan sebuah pusat atau lokasi khas bagi membolehkan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan memberikan penghormatan terakhir.

“Pada masa sama, garis panduan berkenaan juga perlu menetapkan tempoh masa yang munasabah bagi sesi penghormatan terakhir, selain memperincikan tanggungjawab setiap agensi yang terlibat supaya proses pengurusan jenazah dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan konsisten di seluruh negara.

“Komunikasi yang jelas antara pihak hospital, polis, agensi kerajaan dan keluarga juga amat penting bagi memastikan setiap keputusan dapat difahami dengan baik sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh menambahkan kesedihan kepada waris,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengadakan sesi libat urus bersama wakil agama, pakar perubatan, pihak penguat kuasa, pengurusan hospital serta pertubuhan masyarakat sivil bagi merangka satu dasar yang lebih jelas, praktikal dan berperikemanusiaan.

“Mahima percaya setiap keluarga yang kehilangan orang tersayang berhak menerima layanan yang penuh ihsan, hormat dan bermaruah.

“Cara kita menghormati mereka yang telah pergi mencerminkan nilai kemanusiaan dan ketamadunan sesebuah negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast