Calon BN N.26 Machap yang juga penyandang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berpelukan bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh pada sidang media keputusan terkini tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bangunan Perhubungan UMNO, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 11 JULAI 2026.

 

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) berjanji akan terus berkhidmat dengan lebih baik bagi penggal berikutnya susulan kemenangan besar melebihi 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kejayaan luar biasa itu juga memberi suntikan semangat baharu kepada barisan kepemimpinan parti gabungan negeri itu.

Beliau turut meluahkan rasa syukur dengan sokongan padu rakyat Johor sehingga BN memperoleh kemenangan lebih besar berbanding 40 kerusi pada PRN Johor 2022.

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya bagi pihak kepimpinan Barisan Nasional Johor ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.

“Ia memberikan kami Barisan Nasional Johor semangat untuk terus berkhidmat dan menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik lagi.

“Itu komitmen kami bila mendapat mandat sebegini rupa,” katanya pada sidang media di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini malam ini.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Machap turut mengingatkan semua wakil rakyat BN yang memenangi kerusi ditandingi bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah yang amat besar.

“Mandat yang diberikan kepada kita ialah mandat untuk menjaga seluruh Bangsa Johor. Sama ada yang menyokong kita ataupun tidak, itu tidak penting.

“Bila kita sudah menang, bangsa Johor yang saya kasihi, kita akan jaga semua Bangsa, Melayu, Cina, India, Orang Asli, kita semua bangsa Johor.

“Sama-sama kita rapatkan saf, kita buang yang keruh, kita ambil yang jernih.

“Musim pilihan raya negeri Johor sudah berakhir. Sekarang, tanggungjawab kita adalah untuk membina Johor yang kita semua dambakan, yang kita semua impikan bersama, insya-Allah,” katanya.

Setakat pukul 9 malam, BN mendahului di 49 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) di tujuh daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast